Assalamualaikum wrt bth.
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki di alam yang fana ini. Selang beberapa hari lagi kita akan memasuki tahun baru hijrah 1432.
Khatib mengambil ruang khutbah ini untuk mengajak umat Islam merenung satu perjuangan agung yang telah berlangsung sejak seabad yang lalu.
Khatib memilih untuk mengulas isu ini kerana rata-rata umat Islam seolah-olah lupa dengan penderitaan yang masih ditanggung oleh umat Islam di Gaza. Serangan besar-besaran telah dihentikan pada akhir Januari 2009 namun dengan berhentinya serangan tersebut ia tidak membawa apa-apa harapan kepada rakyat Gaza. Mereka terus dikepung, terus dikenakan sekatan ekonomi, terus dihalang dari mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, bekalan air bersih, bahan binaan dan bahan bakar. Kedudukan mereka tidak pernah berubah sejak empat tahun yang lalu apabila Israel menutup sempadan keluar-masuk dan laluan laut dan udara. Yang lebih memilukan ialah Negara umat Islam yang berjiran dengan Gaza iaitu Mesir turut tunduk kepada tekanan Israel dan menutup satu-satunya laluan ke Mesir dipintu masuk Rafah. Bahkan sewaktu rakyat Gaza yang tercedera cuba untuk mendapatkan rawatan di Mesir, mereka telah dihalang dari memasuki sempadan sehingga ada yang meninggal kerana menunggu beberapa hari di pintu masuk. Bukan sahaja penduduk Gaza tidak dibenarkan menyeberang masuk bahkan bantuan perubatan yang datang dari seluruh dunia juga tidak dibenarkan masuk untuk menghantar doktor, ubat-ubatan dan peralatan untuk rawatan. Sesungguhnya dunia belum pernah menyaksikan kezaliman yang begitu menyolok mata yang dilakukan oleh umat islam sendiri ke atas saudara-saudara seagama mereka.