Saturday, March 27, 2010

RUGINYA TAK BAYAR ZAKAT

Oleh : AJK Dana JIM KL, Abdul Hafidz Hashim

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solat dan mereka yang meninggalkan perkara yang sia-sia dan juga mereka yang mengerjakankan zakat” (Al-Mukminun : 1-4)

Harta dan rezeki yang ada pada kita adalah pinjaman atau pemberian Allah untuk kita uruskan penggunaannya. Ia tidak kekal pada kita, bahkan ada tuntutan yang perlu kita dilaksanakan sebagai pengurus harta tersebut. Salah satu tuntutan tersebut ialah zakat.
Zakat adalah salah satu pintu amal, pintu kebaikan dan pintu untuk mendapat pahala yang besar. Amatlah rugi jika kita memandang zakat sebagai satu tuntutan yang membebankan. Sudah sampai masanya kita membuat anjakan terhadap cara pemikiran kita yang negatif itu.

Contohilah umat di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka yang layak menerima zakat pun memilih untuk membayar zakat. Ini kerena mereka faham bahawa kelebihan membayar zakat itu sangat banyak.


Antara sebab mengapa kita perlu mengeluarkan zakat ialah;

  1. sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah - bila ada arahan kita wajib taat dan patuh.
  2. sebagai bukti kita bersyukur kepada nikmat Allah yang banyak - nikmat Allah tidak terkira, semestinyalah kita bersyukur atas kesemua nikmat tersebut.
  3. untuk membersihkan harta kita – yakinkah kita harta kita 100% halal dari segi sumber dan cara kita mendapatkannya? Pernahkah kita menggunakan waktu kerja untuk tujuan peribadi? Atau pernahkah kita menggunakan harta atau telefon pejabat untuk tujuan peribadi? Pernahkah kita memakan atau menerima sesuatu yang syak? “Setiap daging yg tumbuh drp yang haram, maka api nerakalah yg paling tepat utk membakarnya” ( maksud hadis sahih )
  4. menyuburkan harta – harta kita bertambah subur dengan cara ditambah rezeki kita dan/atau kita diberi rezeki tak disangka dan/atau diberkati harta dan perniagaan kita dan/atau dipelihara harta, rumah, kenderaan, keluarga dari kecelakaan, kecurian dan kerosakan
  5. menyelamatkan harta dari kejahatan, seperti hadis nabi “Bentenglah harta kamu dengan zakat” – agar Allah pelihara kita dari menunjuk-nunjuk, berasa ego, ujub, riak, sombong, tamak, bakhil dan lain-lain sifat mazmumah. Juga agar Allah tidak menurunkan bala atas sikap kita

Dalam konteks harta dan rezeki, membayar zakat boleh diumpamakan seperti kita mencantas pokok bunga. Bila dicantas, makin rendang dan mekarlah ia. Begitulah juga zakat, makin kita keluarkan di jalan Allah, makin bertambahlah rezeki kita.

Bagaimana pula dengan mereka yang menyatakan ; setelah dikira pendapatan dan ditolak perbelanjaan, didapati saya tak perlu bayar zakat?

Pendirian saya, kalau kita ;
- mahukan redha Allah
- mahukan pahala yang banyak
- mahukan harta dan rezeki subur dan bertambah
- mahukan keberkatan dan perlindungan Allah terhadap harta dan keluarga
- mahu menzahirkan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah
- mahu membersihkan harta dan rezeki kita
- mahu mempertingkatkan ekonomi umat Islam
- mahu membantu umat Islam yang memerlukan

Ya, jika kita ingin semua yang di atas, sempurnakanlah rukun Islam ke 3 ini.

Pastikan kita keluarkan hak zakat dari pendapatan kita, wang simpanan, pelaburan, wang KWSP, emas simpanan dan lain-lain. Semoga Allah menempatkan kita bersama-sama orang yang beruntung di dunia dan akhirat. Berzakatlah, ruginya kalau tak bayar zakat!!

*Sdr Hafidz merupakan pengurus kutipan zakat bagi pihak JIM KL. beliau boleh dihubungi di 019-3566760 untuk urusan pembayaran zakat

No comments:

Post a Comment