
KUALA LUMPUR, 18 Mac - Seramai 83 orang remaja yang sedang menghabiskan cuti sekolah minggu ini berjaya dikumpulkan dalam program sehari di Masjid As-Syakirin, KLCC di sini. Program yang diberi nama 'Offline with Hedonism!' (OWH) itu bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Ia merupakan satu daripada pelbagai program kesedaran dan motivasi yang disasarkan kepada remaja belasan tahun dalam usaha membentuk mereka menjadi Muslim yang kental menghadapi cabaran.
"Kita sasarkan peserta di peringkat awal remaja supaya mereka dapat dicegah dahulu sebelum terjebak dengan budaya hedonisme ini," jelas Hafiz.
Apakah 'hedonisme'? Ia adalah satu fahaman yang menjadikan hiburan yang melampau sebagai matlamat utama kehidupan.
"Orang yang terjebak dengan budaya buruk ini melihat hidupnya hanyalah untuk berhibur dan berseronok sahaja. Sebab itu dalam program ini, kita menekankan tema bahawa 'Hedonisme Bukan Fitrah Kami'. Isi program pula lebih menjurus kepada kebejatan 7S (sex, smoke, sport, SMS, social network, screen, song) iaitu antara budaya hedonisme yg melanda remaja hari ini," ujar Hafiz lagi dengan penuh semangat.
"Sebenarnya remaja sekarang banyak terikut-ikut dengan peredaran semasa. Sebab itu program ini menekankan bahawa persekitaran semasa itulah yang banyak mencorakkan kehidupan mereka. Mereka juga sebenarnya kurang kasih sayang, jadi kita kena mengisi kekurangan ini dengan betul," katanya lagi.
Para peserta telah didedahkan dengan aktiviti latihan dalam kumpulan, permainan berciri pengurusan, persembahan berkumpulan dan yang paling mengujakan, 'explorace' di dalam bangunan KLCC. Program yang mendapat kerjasama baik daripada pengurusan Masjid As-Syakirin ini dianggap berjaya dan maklumat setiap peserta akan disimpan dalam pangkalan data KRJ KL untuk program-program susulan seterusnya.
Sementara itu, Setiausaha JIM Kuala Lumpur, Zulkifli Ahmad (gambar) berpendapat zaman ini adalah era yang cukup mencabar bagi remaja kerana cabaran datang dari pelbagai penjuru.
Program remaja, menurutnya lagi, perlu ditumpukan kepada pembentukan jati diri dan akhlak, pendedahan kepada kesedaran dan motivasi, dan paling penting menyediakan alternatif hingga mereka dapat membezakan sendiri antara perkara yang boleh dengan yang tidak boleh dilakukan, antara yang halal dengan yang haram dan sebagainya.
JIM Kuala Lumpur melalui jawatankuasa remajanya banyak menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah seperti program popular 'Keindahan Bersama-Mu', program 'BEST' untuk pelajar-pelajar sekolah menengah rendah, selain aktiviti fizikal seperti futsal dan lawatan sambil belajar ke Petrosains dan lain-lain.
"Sudah tentu program JIM sahaja tidak cukup untuk menampung keperluan remaja yang ramai. Kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan mesti diwujudkan bagi menangani gejala negatif dalam kalangan remaja ini. Kita kena tengok dari dua aspek, antara cabaran hedonisme dengan cabaran untuk menanganinya. JIM banyak membuat program-program berbentuk 'membaiki' dan memberi kekuatan jiwa, tetapi dalam masa yang sama, ada pihak lain yang sengaja menyuburkan aktiviti- aktiviti hedonisme supaya para remaja terjebak. Aspek ini yang sukar untuk kita tangani," ujar Zulkifli lagi.
"Kalau satu aspek sahaja dibuat, insya-Allah ia boleh selesai juga tetapi akan memakan masa yang lama dan kos yang banyak. Jadi, kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa, bahagian agama polis amat diperlukan untuk menutup lubang-lubang maksiat ini."
Ku Muhammad Azim Ku Aizuddin, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang yang ditemui berkata, beliau mendapat pengalaman berharga dan dapat mengenali dengan lebih mendalam apa itu budaya hedonisme dalam program ini.
"Para peserta yang mengikuti program hari ini sudah mengetahuinya, Jadi, sebarkanlah pengetahuan ini kepada remaja lain di luar sana kerana budaya hedonisme ini mesti dihindari oleh semua," ujarnya.
Pengalaman yang sama dikongsi oleh Farah Ilyana Huzaimi, 16, pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam yang melihat trend buruk remaja sekarang berlaku di hadapan matanya.
"Semasa kami melakukan 'explorace' tadi pun kami nampak perangai remaja yang tidak senonoh, membuktikan bahawa peranan memberi nasihat dan menunjukkan contoh yang baik mesti dilakukan oleh remaja yang mempunyai kesedaran seperti kami," katanya.
Sumber : MalaysiaHarmoni
No comments:
Post a Comment