Oleh : TYDP JIM KL, Sdr Mohammad Abdul Hamid
SETIAP individu itu unik kerana masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri. Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari keistimewaan yang ada pada diri mereka.
Hasilnya, ramai yang tidak dapat mengembangkan potensi diri dengan sebaik mungkin.
Ini tentunya bukan kesilapan individu itu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah persekitaran, latar belakang pendidikan dan dorongan keluarga.
Keunikan seseorang individu adalah manifestasi kebesaran Allah SWT. Walaupun penduduk dunia hari ini sudah melebihi lima bilion, tetapi tidak ada seorang pun yang serupa.
Malah, masing-masing mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dari sudut perwatakan, kebolehan, sifat fizikal dan banyak lagi. Ia mengingatkan kita betapa kerdilnya manusia apabila dibandingkan dengan Penciptanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Dalam banyak perkara, kita dinilai berdasarkan pandangan dan piawaian yang diletakkan masyarakat dan kebiasaannya berkait rapat dengan pandangan dan piawaian yang popular di kalangan mereka.
Bagaimanapun, ia tidak semestinya yang terbaik. Mungkin inilah yang diistilahkan sebagai pandangan majoriti menjadi kayu ukur dan ikutan ramai.
Dengan kata lain, individu di dalam masyarakat menerima tekanan secara halus untuk melakukan sesuatu yang diterima oleh majoriti anggota masyarakat.
Pencapai akademik contohnya, sering menjadi ukuran kecemerlangan seseorang pelajar. Pelajar yang cemerlang akademiknya dikategorikan sebagai manusia istimewa.
Lantaran itu, ‘keistimewaan-keistimewaan’ tertentu ditawarkan kepada pelajar berkenaan seperti hadiah, biasiswa atau pun tempat di universiti terkemuka.
Sebaliknya, ramai yang beranggapan, pelajar yang lemah pencapaian akademiknya adalah pelajar yang tidak mempunyai masa depan. Mereka ini dikategorikan dan sering dilabelkan sebagai golongan yang ‘tercicir’.
Sejarah membuktikan, tidak sedikit manusia yang tergolong dari kalangan orang yang tercicir tetapi kemudiannya dianggap sebagai manusia berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft Corporation, Bill Gates, adalah pelajar yang tercicir dari Universiti Harvard tetapi kemudiannya menjadi ahli perniagaan sangat berjaya sehingga dimartabatkan sebagai orang yang paling kaya di dunia.
Kelemahan dari sudut akademik bukanlah penghujung segalanya, begitu juga kelemahan sudut fizikal, kemahiran atau apa juga, bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan.
Banyak yang kita boleh pelajari daripada kisah Nabi Musa. Walaupun mempunyai kelemahan dari sudut kelancaran percakapan, tetapi baginda mampu berhadapan dengan pemimpin tertinggi.
Baginda mampu menyatakan kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah kerajaan Mesir ketika itu (Firaun).
Bahkan, Nabi Musa berhadapan dengan seorang manusia yang banyak berjasa kepada baginda kerana telah memelihara baginda di istananya sejak bayi lagi.
Inilah keunikan yang amat istimewa di dalam bentuk keberanian dan keperibadian terpuji walaupun dengan kelemahan yang ada pada diri baginda.
Ringkasnya, Nabi Musa tidak menjadikan kelemahan yang ada pada dirinya sebagai alasan untuk tidak menyahut cabaran dan melaksanakan tanggungjawabnya.
Bukan sedikit kisah yang kita dengar berkaitan dengan orang yang selalunya disebut sebagai orang yang berjaya tetapi pada hakikat, gagal di dalam hidupnya.
Tentunya kisah umat terdahulu boleh dikaitkan dan dijadikan pengajaran di dalam perkara ini.
Kaum 'Ad terkenal sebagai kaum yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang seni bina sehingga berjaya menghasilkan bangunan cantik tetapi sayangnya, mereka dari golongan manusia yang lupa diri sehingga di laknat dan diturunkan bala oleh Allah SWT.
Begitu juga tamadun Mesir kuno yang berjaya menghasilkan seni bina unik dan dikagumi sehingga hari ini tetapi mereka tergolong dari kalangan manusia yang tidak berguna.
Kisah ini membuktikan bahawa ketinggian ilmu, kecerdasan akal dan kepakaran semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang individu atau pun sesebuah tamadun.
Banyak lagi kisah sepanjang zaman yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Pokok pangkalnya, setiap individu boleh diasah potensinya untuk menjadi orang yang berjaya.
Dan tentunya, golongan yang berjaya pada hakikat sebenarnya adalah manusia yang mempunyai asas keimanan utuh, dapat menghidupkan suasana masyarakat dan negara aman damai serta bersih dari keruntuhan akhlak.
Firman Allah yang bermaksud: “Jika sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A'raf, ayat 96) .
Untuk mencungkil potensi setiap individu, peranan pendidik seperti ibu bapa, guru, ahli keluarga, masyarakat sememangnya penting.
Zaman menumpukan usaha pendidikan ke arah pencapaian akademik saja sudah berlalu sebaliknya, pendidikan yang seimbang perlu menjadi formula untuk melahirkan masyarakat yang berjaya.
Pada hari ini, di sekolah atau institusi pendidikan, banyak kegiatan kokurikulum disediakan untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh. Namun, usaha ini tidak boleh berhenti di situ saja.
Semua maklum, peranan yang dimainkan sekolah dan institusi pendidikan mempunyai had dan kekangan tertentu.
Suasana dan persekitaran yang wujud di sekolah kadangkala bukanlah yang terbaik untuk semua individu.
Untuk itu, bentuk pendidikan yang diberikan di luar sekolah tidak kurang pentingnya, malah mungkin lebih penting daripada apa yang dapat ditawarkan di sekolah.
Tidak sedikit pelajar yang kurang berminat dan bosan dengan pendidikan formal di dalam kelas.
Sebaliknya, jika diberi peluang untuk mengasah bakat atau kemahiran di dalam bidang tertentu, mereka dapat memberikan tumpuan yang baik malah dapat menghasilkan kerja cemerlang
Dulu, kayu pengukur paling penting yang digunakan untuk menilai potensi seseorang kanak-kanak atau individu kecerdasan akal mereka.
Tetapi kini, ramai percaya kecerdasan akal (IQ) semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang di dalam hidup tetapi penekanan diberi kepada emosi (EQ).
Keupayaan seseorang mengenal dirinya adalah kemahiran yang sangat penting dan istimewa kerana dengan keupayaan ini, seseorang dapat mengawal emosi dalam apa juga keadaan.
Keupayaan ini tentunya tidak datang dengan sendiri tanpa kekuatan dalaman yang utuh yang dibina melalui sistem pendidikan seimbang.
Hari ini, kebanyakan syarikat yang mencari pekerja baru tidak lagi bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya melihat kepada kemahiran komunikasi, kreativiti dan pergaulan.
Malah kemahiran inilah yang menjadi faktor penentu kejayaan seseorang dalam kerjaya, di samping ilmu yang ada padanya.
Begitu juga di luar konteks kerjaya, formula yang sama boleh digunakan di dalam kehidupan seharian dan hidup bermasyarakat.
Pendeknya, setiap individu boleh memanfaatkan segala kurniaan Tuhan kepadanya dan menempatkan dirinya sebagai aset yang berharga kepada masyarakat.
Semoga kita menjadi jauhari yang mengenal manikam dalam diri kita seterusnya menjadikan kita seorang manusia yang berguna kepada diri, majikan dan orang lain. Selamat Hari Buruh!
INTI PATI:
Manusia mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dari sudut perwatakan.
Sejarah membuktikan, ramai manusia yang tergolong dari kalangan orang yang tercicir tetapi kemudiannya dianggap sebagai manusia berjaya.
Setiap individu boleh diasah potensinya untuk berjaya.
Ramai percaya kecerdasan akal (IQ) semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang di dalam hidup tetapi penekanan diberi kepada emosi (EQ).
No comments:
Post a Comment