Wednesday, March 31, 2010

Air mataku mengalir mendengar takbir raya

“Asyhadu alla ilaha illalLah, wa asyahadu anna Muhammadar Rasuulullah, Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”, lafaz yang diiringi dengan hati mengakui bahawa beliau sudah memeluk Islam tanpa dipaksa, dipujuk rayu atau atas desakan sesiapa pun dan dengan keikhlasan hati.


”Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”

    Keadaan menjadi sejuk di Bilik Tenang Kompleks JIM, selepas mendengar syahadah dari pemuda ini, saudara Ramesh yang ingin dikenali sebagai Amer Hamzah, 45 nama Muslim beliau. 23 Mac 2010 adalah tarikh keramat buatnya yang tidak dapat dilupakan.

    Pendedahan tentang Islam seperti terdengar azan, takbir raya dan belajar puasa sejak bersekolah di Sek Men Keb Victoria, KL mendekatkan diri Amer kepada Islam. Laungan azan berkumandang dan suara takbir di pagi raya menambahkan lagi kesayuan dalam hidupnya. “Rupa-rupanya tanpa saya sedari air mata saya mengalir bila terdengar takbir raya pada masa itu”, kata saudara Amer.

    Keindahan Islam yang beliau nampak dan lalui sejak kecil lagi tidak pernah menyatakan tidak kepada Islam malah dirinya terasa mudah untuk menerima dan tidak sangka pada petang itu beliau mengucap syahadah. ”Risau juga sebab takut nak masuk Islam sebab saya tak tahu apa caranya. Apabila saya ”search” internet saya terjumpa laman web Hidayah Centre yang menerangkan cara untuk memeluk agama Islam. Jadi, saya tekad untuk datang ke sini dengan mengambil cuti separuh hari hari ni.” ujar Amer.

    ”Walaupun saya penganut agama Kristian, saya tidak rasa Islam sebagai satu agama yang salah. Malah bila saya membeli tafsir al Quran dan buku panduan solat tahun lepas dan membacanya, terdapat banyak nilai kehidupan yang saya perolehi seperti mentaati ibubapa dan bagaimana menjaga diri sebagai seorang Muslim.”, kata Amer.

    Kemarahan keluarga bukanlah satu penghalang untuk beliau memeluk Islam, malah beliau akan buktikan dengan Islam hidupnya akan lebih bahagia dan mampu mengubah hidupnya ke arah yang menjadi contoh kepada keluarganya.

Syahadah kit diberikan kepada Saudara Amer Hamzah
sebagai tanda penghargaan.

No comments:

Post a Comment