Kenyataan Media Majlis Berbuka Puasa Hidayah Centre kali ke 6
bagi tahun 1431 H/ 2010
18hb Ogos 2010 / 8 Ramadhan 1431H
Syukur alhamdulillah, sekali lagi Hidayah Centre (HC) berpeluang menganjurkan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) buat kali ke 6 tahun ini. HC merupakan sebuah institusi di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan berperanan sebagai pusat sokongan saudara baru. Tujuan utama penubuhan HC ialah untuk memberikan penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat kepada saudara baru disamping memberikan penjelasan dan berdakwah kepada golongan bukan Islam. Sehingga hari ini, Hidayah Centre telah beroperasi di 14 buah cawangan iaitu di Perak, Selangor, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
MIPHC ke-6 ini adalah kesinambungan program MIPHC sebelumnya yang bertujuan mengumpul dana pengoperasian dan aktiviti Hidayah Centre seluruh negara. Alhamdulillah pada tahun lepas, kita telah berjaya membuat kutipan kasar berjumlah RM175,000 melalui program MIPHC ke-5. Penyertaan yang semakin meningkat ini juga turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang tokoh bukan Islam ke dalam majlis MIPHC tahun lepas. Ini sesuai dengan hasrat Hidayah Centre untuk memberikan penerangan dan penjelasan seluas mungkin kepada sesiapa sahaja mengenai Islam termasuk rakan-rakan bukan Islam yang berminat.
Memandangkan tuntutan menyantuni saudara baru seluruh negara semakin mendesak, serta keperluan berinteraksi dengan bukan Islam semakin penting demi memartabatkan syariah Islam, MIPHC pada tahun ini akan melebarkan lagi sayapnya ke dua buah negeri lagi iaitu di Sabah dan Pulau Pinang selain dari Putrajaya seperti tahun-tahun sebelumnya. Dengan ini, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat menyumbang dana serta turut terlibat dalam misi dakwah Hidayah Centre.
Pada tahun ini, Hidayah Centre mensasarkan kutipan dan sumbangan sebanyak RM300,000.00 diperolehi dari MIPHC di ketiga-tiga tempat demi untuk menampung kos pentadbiran dan bantuan kepada saudara baru yang memerlukan melalui semua cawangan Hidayah Centre di seluruh Malaysia. Ini termasuk inisiatif menubuhkan Hidayah Training Centre bertempat di Kota Kinabalu, Sabah yang bakal melahirkan para duat dikalangan saudara baru. Pengambilan seramai 20 pelajar pertama Hidayah Training Centre dijangka pada hujung tahun ini.