Wednesday, March 31, 2010

Forum Dakwah Harmoni : DEKATI, HORMATI & HAPUSKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP MEREKA

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt di atas limpah & kurniaNya, satu forum ilmiah iaitu Forum Perdana : Bicara Harmoni pada masyarakat Tiong hua di Malaysia telah berjaya diadakan pada 25 Mac 2010 yang lalu.

Hari ini JK Dakwah daerah Cheras ingin berkongsikan pengalaman menyertai Forum Perdana : Bicara Harmoni pada masyarakat Tionghua di Malaysia, yang berlangsung di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, KL.

Antara panelis-panelis forum : Dr. Ann Wan Seng (Setiausaha Kehormat MACMA) dan Sdra Lim Jooi Soon (PERKIM) serta Ustaz Tuan Haji Shafie Patt (MAIS) sebagai moderator.
Seramai 130 orang jamaah sekitar Bandar Sri Permaisuri telah hadir.

Antara objektif utama forum ini ialah:

a) Memperkenalkan Islam dan menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat ini secara meriah, kreatif dan santai serta mudah didekati oleh mereka.
b) Mengurangkan persepsi dan salah faham masyarakat ini tentang Islam.
c) Berkongsi keharmonian dan keindahan agama Islam kepada mereka.

Soalan 1 : Tentang berapa jenis suku kaum masyarakat tionghua ini? Apa budaya & sistem yang mereka amalkan? (Dr Ann Wan Seng)


Tak kenal maka tak cinta. Terlebih dahulu dalam dakwah kita mesti hapuskan persepsi negatif suku kaum Cina ini. Istilah-istilah negatif yang masih kedengaran ialah Cina Buta, Cina Kafir, Cina Babi, Cina Mampus dsb yang menyebabkan mereka menjauhi kita. Menghukum menambahkan lagi kesusahan dan mereka membayang, ini tidak boleh itu pun tidak boleh. Kita seharusnya bercampur dengan masyarakat ini dengan mengenal budaya dan adat resam mereka dahulu agar dapat mengurangkan salah tanggapan terhadap mereka. Kita juga kena tahu pantang larangnya. Terdapat 55 etnik cina di China. Salah satunya yang beragama Islam ialah suku Hui terdiri daripada 13 suku. Mereka berbeza dari segi dialek, adat resam, perangai, ekonomi, budaya dan tempat tinggal. Begitu juga di Malaysia, terdapat 13 suku kaum cina.

Dahulu, Islam sudah datang ke China sejak awal 600 M lagi yang mana 3 orang sahabat Rasulullah saw diarahkan oleh Baginda saw untuk berhijrah ke sana. Di Malaysia pula, Islam datang pada awal 900M.

Soalan yang menarik perhatian kepada jamaah masjid ialah ”Siapa yang mualaf sebenarnya orang Cina atau orang Melayu?”

Soalan 2 : Apa pegangan atau amalan kehidupan mereka dan bagaimana nak berdakwah pada mereka? (Saudara Lim Jooi Soon)

 
    
  Biasanya masyarakat Tiong hua amalkan BTC (Buddhisme, Taoisme & Confuisme). Majoriti mereka adalah berfikiran bebas (free thinker) atau atheis. Konsep mereka mudah sahaja iaitu amalan mudah, yang susah dibuang yang mudah diambil dan tidak membebankan hidup mereka. Disebabkan mereka ”free thinker”, surah dalam Ali Imran 3:64 amat sesuai untuk berdakwah pada mereka. Kita cari persamaan antar kita dan mereka. Golongan ada 2 jenis kitab sahaja iaitu Sains dan Logik. Bagaimana nak berdakwah dengan mereka?
Yang pertama : Cerita Pencipta & Ciptaan. Kita buat persetujuan 2 hala antara kita dan dia. Setiap yang dicipta itu ada penciptanya betul tak? Jadi, sudah tentu dia akan kata ya. Sebagai contoh, sebuah kereta yang cantik dibuat oleh jurutera pembuat kereta. Dari segi sains, dia akan kata ”ya”. Jadi, pencipta itu ialah jurutera pembuat kereta, betul tak? Sebab dia ada ilmu tersebut dan tahu mekanisme pembuatan tersebut. Dan kereta cantik itu adalah ciptaan, betul tak? Sekarang, jika bumi dan langit ini adalah ciptaan. Siapakah penciptanya? Siapa yang ada ilmu ini? Siapa yang buat mekanisme ini? Sudah tentu dia akan katakan Tuhan. Melalui cerita pencipta dan ciptaan ia membawa konsep sains dan logik akal. SubhanaLlah.
Yang kedua : Cerita tentang sains. Ada lebih 1000 ayat dalam Qur’an menceritakan tentang sains. Kita gunakan sains ini yang ada dalam Qur’an untuk menarik perhatian mereka tentang Islam. Selagi kefahaman sains tidak bertentangan kefahaman Qur’an, kita boleh gunakan hujah ini. Sebagai contoh, mengikut teori Darwin, adakah manusia dilahirkan dan ketururan kita adalah dari keluarga monyet? Sudah tentu tidak. Sebab apa yang lahir (dari segi fizikal spt boleh bercakap, boleh guna akal dan bertamadun) sudah tentu sama dengan orang yang melahirkannya. Bayangkan bagaimana kita dikandung dan dilahirkan oleh ibu kita. Siapakah yang memiliki ilmu tersebut?
Soalan 3 : Apa yang masyarakat Cina faham dan lihat Islam? (Dr Ann Wan Seng)

           Mereka menganggap Islam ini sempit, menyusahkan malah membebankan. Jika seorang itu baru masuk Islam, ayat yang biasanya ditanya malah menakutkan mereka ialah masuk Islam mahu potong, ”You berani kah? You mahu kah?” Bila dengar perkataan potong itu, sebagai contoh sebatang pokok dipotong selalunya di bahagian bawah berhampiran akar pokok yang akan dipotong habis. Jadi, bayangkan apa yang mereka fikir dan bayangkan jika kita katakan ”dipotong”. Sebab itulah kita kena amalkan cara Islam yang betul dan jelas memberikan maklumat yang tepat dan jelas.
Kebanyakan ibu bapa masyarakat ini bukannya tidak suka Islam tapi sebenarnya mereka tidak faham tentang Islam. Mereka akan memberikan label pada Muslim melalui perbuatan dan tingkah laku seharian. Seorang muslim juga mesti mahirkan diri dengan fiqah yang bertujuan bukan untuk menghukum tapi untuk menilai baik dan buruknya malah jelas dan pandai untuk mengguna dan mengamalkannya.
Sebagai contoh di Indonesia semasa beliau (DAWS) ke sana, ada pelbagai jenis suku kaum Jawa yang juga hampir majoriti Muslim. Paling malang adalah orang Jawa ini (muslim) biasanya menjual katak di pinggir jalan. Saya juga ada tanya mereka, ”Wak ni muslim ke?. Dia menjawab ” Ya, Pak”. ”Wak jual katak untuk orang bukan muslim atau muslim?”. Wak menjawab lagi, ”Untuk bukan Muslim, tapi orang Muslim juga ada beli dan makan katak.” Jadi, jika satu masa masyarakat Cina ke sana dan melihat mereka (Jawa Muslim) menjual katak dan makan katak, ini sudah jelas bahawa Muslim juga sebenarnya makan katak. Sedangkan yang mereka tahu katak ini mahkluk dua alam dan haram dimakan.
Soalan 4 : Apakah soalan-soalan lazim yang mereka tanya tentang Islam? (Saudara Lim Jooi Soon)

a) Islam agama yang membebankan, menyusahkan, berat, dosa & neraka.
b) Bila lahir, membesar dan mati dalam Islam, orang itu akhirnya masuk syurga. Tapi bila lahir, membesar dan mati dalam bukan Islam, orang itu akhirnya masuk neraka. Ini tidak adil. Sedangkan awak kata Tuhan Allah Maha Adil.
c) Kenapa Lelaki boleh kahwin 4 tapi perempuan tidak boleh 4? Ini juga tidak adil.
d) Kenapa lelaki mesti solat di depan, tapi perempuan solat di belakang?
e) Kenapa babi tidak boleh makan?

Dalam banyak-banyak soalan, soalan (e) yang ingin dijawab. ”Adakah disebabkan kuman atau bakteria yang ada di dalam badan haiwan tersebut? Bagaimana pula dengan teknologi sekarang dapat membunuh kuman tersebut hingga tiada. Adakah haiwan tersebut boleh dimakan?” ujar saudara Lim. Cantik persoalan tersebut hingga jamaah pun tergamam tak tahu jawapan terbaik. Tujuannya utama persoalan ini adalah merujuk kepada keimanan seseorang muslim. Samalah dengan meminum arak, Allah melarang kita untuk tidak meminum arak sebab Allah sedang menguji keimanan kita sama ada kita taat kepadaNya atau tidak. Itulah tunas utama arah iman kita kepadaNya.

Kesimpulan kedua-dua penceramah:

a) Hilangkan salah tanggap orang Cina tentang Islam dengan bercampur atau berkawan rapat dengan mereka.
b) Jaga istilah, perkataan dan ayat-ayat sensitif seperti babi, arak dan sebagainya.
c) Jangan menghukum mereka (fiqah) tapi ajarlah mereka mengenal Allah (cinta pada Pencipta) dan cari persamaan antara kita dan dia.

Ada tiga teknik dakwah :
i) Gunakan pendekatan yang sesuai dengan keadaan dari segi bahasa (belajar tahu bahasa mereka) dan akal (guna logik akal)
ii) Hujah ikut berperingkat peringkat; kenal mereka siapa Allah Maha Pencipta kemudian baru cerita fiqah
iii) Memberikan hukum sesuai untuk iman atau tahap kefahaman mereka.
 

Antara jamaah yang begitu terharu kerana beliau ada kawan-kawan bukan muslim dalam perniagaan tapi tidak pernah sekalipun berdakwah dengan mereka / cerita Islam pada mereka.

Jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan dan AJK Masjid Al Najihin terutamanya Ketua Imam, Ustaz Md Aziz di atas kesudian beliau mengadakan program ini dan seterusnya dapat mempergiatkan dakwah Islamiah kepada masyarakat bukan Muslim di Bandar Sri Permaisuri.

Laporan dari JIM Daerah Cheras

No comments:

Post a Comment