Saturday, March 27, 2010

Memandang Dari Mata Cicak

Oleh : TYDP JIM KL, Sdr Mohammad Abdul Hamid


Seekor cicak dan pakcik tua

Seekor cicak membeliakkan matanya, sekejap ke kiri, kemudian ke kanan. Ruang tamu nampak sangat luas. Cicak itu merangkak di atas siling yang asalnya berwarna putih, namun kini kian pudar warnanya dimamah usia. Rumah itu rumah kampung, dindingnya kayu. Mungkin 30 tahun, mungkin juga 40 tahun. Cicak mana tahu!

Di bawah sana ada satu set kerusi rotan. Seorang tua berkopiah putih sedang duduk di atas salah satu kerusi. Kepalanya mendongak ke atas. Sedang berfikir gamaknya. Di sebelah kiri cicak, kipas angin berputar ligat. Debu-debu berwarna perang dan kelabu memenuhi bahagian atas setiap bilah kipas. Hanya cicak yang nampak, manusia di bawah tidak nampak.

Paradigma

Bila diceritakan tentang paradigma, mungkin kisah yang selalu kita dengar ialah berkenaan seorang bapa yang membawa anak-anaknya yang ramai menaiki keretapi (sesetengah riwayat menyebut subway - "tube" bagi orang London). Semuanya kecil-kecil. Apabila berada di dalam keretapi, masing-masing bermain dengan rancak sekali sehingga mengganggu penumpang-penumpang yang lain. Bapanya selamba sahaja, tidak berbuat apa-apa sehingga penumpang-penumpang berhampiran berasa tidak senang sekali.

Setelah berlarutan beberapa lama, salah seorang penumpang memberanikan diri untuk bersuara meminta bapa budak-budak tersebut menegur anak-anaknya. Si bapa menjawab, ibu kepada anak-anak ini baru sahaja meninggal dunia, saya tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan berita ini kepada mereka. Penumpang itu terus terdiam.

Entahkan benar entahkan tidak cerita ini, namun ia merupakan kisah yang digunakan untuk menerangkan makna "paradigma". Setelah penumpang mendengar jawapan dari bapa budak-budak tersebut, "paradigma" beliau terus berubah. Asalnya dia ada rasa marah dan mempunyai tanggapan bapa tersebut tidak pandai menjaga anak-anak. Namun setelah diberitahu musibah yang melanda keluarga mereka, "paradigma" penumpang tersebut terus berubah, lantas menghasilkan rasa simpati kepada bapa dan anak-anak yang baru kehilangan orang tersayang.

Jangan silap peta!

Dulu-dulu, jika ingin memandu menuju ke sesuatu destinasi yang belum pernah kita pergi, biasanya kita akan mendapatkan peta destinasi tersebut. Jadi kalau nak meninjau Edinburgh, kenalah ada peta bandaraya Edinburgh. Namun ada juga orang yang tersilap, mungkin nak cepat, atau tak baca betul-betul, lantas tersilap ambil peta bandaraya lain. Hmm...padahlah jawabnya kan. Tentu tersesat! Kalau yang pakai peta yang betul pun boleh tersesat inikan pula peta yang memang sah silap. Penyelesaiannya tentulah dengan mendapatkan peta yang betul, atau tanya orang tempatan.

Ringkasnya...

1) Pandangan dengan mata cicak betul, pandangan dengan mata pak cik yang termangu di atas kerusi di ruang tamu pun betul juga. Maknanya, kedua-duanya betul. Maknanya juga, mungkin ada dua penyelesaian atau lebih dari itu untuk sesuatu permasalahan. Lumrahnya, kita manusia akan sentiasa guna mata "pak cik". Namun mungkin ada masanya perlu juga cuba tengok dari pandangan mata "cicak".

2) Penilaian kita terhadap seseorang atau sesuatu perkara pula selalunya berdasarkan persepsi dan tanggapan kita terhadap individu atau perkara tersebut. Ada kalanya persepsi kita betul, tidak kurang kerapnya juga persepsi kita salah. Lantas kita diseru untuk salamatul sadr (berlapang dada) dan bersangka baik. Mengorak selangkah lagi, seek to understand...

3) "Peta" kehidupan yang betul pula sangat penting untuk memastikan kita sampai ke destinasi yang diidamkan. Orang beriman sangat beruntung kerana peta kehidupan kita cukup jelas dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Kita dibimbing dengan kitab yang tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang bertaqwa (Al-Baqarah:2).

(Kisah dalam keretapi diriwayatkan oleh Stephen R. Covey lebih 10 tahun dulu dalam bukunya "Seven Habits of Highly Effective People" dan mungkin juga di tempat-tempat yang lain juga).

No comments:

Post a Comment