KUALA LUMPUR - Gabungan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur mendesak agar kerajaan mengambil langkah-langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.
Desakan ini dinyatakan dalam satu sidang media oleh gabungan NGO ini di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Pusat Bandar Melawati dekat sini. Susulan kepada sidang media ini juga, satu memorandum akan dihantar kepada kementerian berkaitan dalam masa terdekat.
Jurucakap gabungan, Dr Hjh Niekmah Adam yang juga merupakan Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur menegaskan bahawa perkembangan teknologi maklumat dan akses yang begitu mudah kepada internet telah mengakibatkan pelbagai masalah termasuk pendedahan bahan-bahan terlarang seperti pornografi.
“Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan yang tidak sihat seperti menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan, dan juga penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks” tegas beliau dalam sidang media tersebut