Saturday, December 18, 2010

Ucapan Dasar PPN : "Meneruskan Perjuangan Mendaulatkan Syariah"

ppn jim2

(Ucapan Dasar Presiden JIM dalam PPN Ke-20, 2010)

Assalamualaikum.

Semoga dirahmati Allah sentiasa.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Sidang hadirin sekalian.

Apa khabar?

Menemui hadirin sekalian di suatu persimpangan yang amat menarik.

Ekonomi Dunia

Ekonomi dunia meresahkan. Di Greece dan Ireland krisis hutang kerajaan yang melanda dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada the Eurozone, sehingga bail-out dirangka oleh Kesatuan Eropah dan International Monetary Fund. Negara Barat meminjam dari IMF, sesuatu yang dulu hanya dibuat oleh negara-negara dunia ketiga. Meminjam dengan IMF ini samalah dengan menyerahkan kawalan ekonomi negara kepada orang lain. Syarat-syarat yang dikenakan ketat, menyakitkan dan tidak popular; memotong perbelanjaan awam, kadar faedah yang tinggi dan membuka ekonomi kepada pasaran. Jika negara tiada sumber yang banyak seperti Indonesia, rakyat akan menanggung akibatnya; pengangguran, potongan gaji, khidmat sosial dan kesihatan bertambah mahal. Di Iceland rakyat telah bangkit dan menukar kerajaan. Angkara bank, rakyat yang perlu menanggung. Di Greece juga rakyat menunjuk perasaan atas sebab yang sama. Ireland pun begitu juga. Pilihan raya akan diadakan awal tahun 2011. Diramalkan tumbang. Sepanyol dan Portugal yang dulu menjarah alam itu, sekarang sedang demam. Tetapi sekurang-kurangnya rakyat mereka tahu sebesar mana masalah yang dihadapi dan berapa banyak yang dipinjam!


Sudah adakah negara di Barat yang telah jatuh tarafnya menjadi negara dunia ketiga? Jangan tunggukan penghebahannya.

Recession kali ini global. Dikhuatiri akan berlaku double-dipped recession. Pada mulanya kemelut ekonomi ini dianggap akan pergi seperti kebiasaannya, seperti biduk berlaku kiambang bertaut. Ini memang tabiat ekonomi Kapitalis, cara ia mencari imbangan dan pensejajaran, self-correction. Tahun 1927 dahulu ia berlaku, kemudian Amerika bangkit dengan lebih gah. Perusahaan yang tidak efisyen bankrup dan diganti dengan yang baru, menggunakan teknologi, proses dan pengurusan terkini. Memang begitulah sepatutnya. Tahun 80an dan 90an menyaksikan kecelaruan ekonomi di sana sini. Asia Pasifik mengalaminya pada tahun 1997. Sebelum itu Pound British diserang. Argentina juga menghadapi kemelesetan. Jarang orang menyedari, Jepun sebenarnya sudah lebih satu dekad mengalami stagnation, Yen naik bak ditiup-tiup sedangkan yang Jepun mahu Yen turun nilainya supaya eksport lebih murah. Kawalan dari Bank Pusatnya melalui kadar faedah (interest) sudah tidak berkesan kerana sudah menghampiri sifar peratus.

Pada akhir 90-an, ekonomi dunia mengalami kecairan berlebihan. Wang banyak, tiada tempat untuk dilaburkan. Mujur ada China untuk dituangkan dana. China menjadi bengkel dunia. Kini China sudah menjadi raksasa ekonomi hingga mencabar Amerika.

Kapitalis juga mencipta berbagai produk. Bermula dengan derivatives hingga kepada “membungkus semula” (repackaging) hutang termasuk sub-prime loans (pinjaman subprima). Produk ini samar-samar hingga tiada yang tahu nilai sebenarnya. Lahab mencari laba. Kemudian ia meletup.

Kemelesatan ekonomi yang ini lain.

Sebabnya yang pertama; jumlah (quantum) ekonomi kini teramat besar. Untuk mengekalkan pertumbuhan empat (4) peratus setahun, pertumbuhan yang dianggap sihat bagi sistem Kapitalis, amat sukar kerana terlalu besar. Sudah tepu.

Sebab yang kedua: sudah tiada tempat baru yang boleh menampung pelaburan sebanyak ini. Semuanya sudah diterokai. Bermula dengan penjajahan, peperangan (banyak dalam sejarah, bukan dua perang dunia sahaja), meningkatkan kekesanan produksi, petroleum dan akhirnya China. Tinggal hanya Afrika, tapi Afrika adalah benua dengan banyak kerajaan yang tidak stabil.

Sebab ketiga: kuasa beli yang sudah terkesan dengan kemelesetan, menjadikan penyelesaian impian melalui eksport meragukan.

Ini benar-benar persimpangan!

Sistem Kapitalis itu sendiri sudah sampai di tahap yang kritikal (the edge). Dipertikaikan sama ada boleh dicapai kadar empat (4) peratus pertumbuhan tahunan yang kini bernilai USD 58,228,178,000,000. Persoalan mengapa mengejar pertumbuhan ekonomi dijadikan matlamat kehidupan sudah mula kedengaran di Barat.

Gross domestic product 2009

(Ranking - Economy - millions of US dollars)

1 United States 14,256,300
2 Japan 5,067,526
3 China 4,984,731
4 Germany 3,346,702
5 France 2,649,390
6 United Kingdom 2,174,530
7 Italy 2,112,780
8 Brazil 1,571,979
9 Spain 1,460,250
10 Canada 1,336,067
11 India 1,310,171
12 Russian Federation 1,230,726
13 Australia 924,843
14 Mexico 874,902
15 Korea, Rep. 832,512
16 Netherlands 792,128
17 Turkey 617,099
18 Indonesia 540,277
19 Switzerland 500,260
20 Belgium 468,552
40 Malaysia 191,601
World 58,228,178

Sumber: World Development Indicators database, World Bank, 27 September 2010

Dari sudut prinsip juga sistem Kapitalis sudah kucar-kacir. Falsafah dan ideologinya yang bersendikan kebebasan modal, campur tangan kerajaan terhad (small government) dan private enterprise sudah semuanya tidak diikut lagi. Kerajaan Barat memang sudah lama campur tangan dengan mengenakan tarif dan memberi subsidi kepada industri mereka, terutamanya pertanian. Itulah sebabnya dunia ketiga terus dimiskinkan dan tidak mampu bersaing. Masih ingatkah mengapa rundingan pusingan Doha gagal?

Kebebasan modal telah menjerumuskan dunia ke dalam kemelut kini. Kononnya sistem ekonomi Kapitalis itu tidak perlu kawalan undang-undang atau peraturan, ia dikawal sendiri oleh kuasa pasaran. Kononnya sistem ekonomi Kapitalis itu berfungsi untuk kebaikan bersama (for the common good). Apa yang berlaku sebenarnya adalah manusia yang mengejar the bottom line, yang gelojoh dan tamak haloba tanpa batasan telah menggunakan kebebasan itu untuk mengaut untung walau apa jua risikonya. Apabila perbuatan mereka itu membawa kemiskinan dan kesusahan kepada ramai manusia di timur dan di barat, tiada tindakan undang-undang boleh diambil. Mencuri satu kotak rokok yang tak menjejaskan keuntungan peruncit itu pun boleh masuk penjara, tetapi yang ini tidak. Pemodal tidak terjejas dan sebaliknya, mereka jugalah yang akan meraih untung daripada peluang yang akan muncul dari krisis ekonomi ini. Sekejap sahaja masyarakat melihat dengan jijik tingkah laku ahli perbankan. Kini yang merobohkan itu juga yang diharap dapat memulihkan. Ya, pagar yang dulu makan padi itu! Bila lagi manusia akan membuka mata? Ada baiknya apa yang dilakukan oleh parlimen Iceland, ingin menyeret bekas pemimpinnya ke mahkamah antarabangsa kerana kecuaian!

Private enterprise, dengan institusi korporat swasta, MNC (Multi-national Corporation) yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan Barat sudah mula hilang pengaruhnya. Dulu dialah raja. Duduknya di mana saja. Tiada kerajaan pun yang boleh mengawalnya. Malah modalnya mengatasi kebanyakan belanjawan negara-negara sedang membangun. Semuanya milik peribadi, menjulang kebebasan dalam bidang ekonomi, menurut faham Liberalisme dan sistem ekonomi Kapitalis. Kapal induk. Kalau negara tempat ibu pejabatnya riuh menuntut amalan demokrasi dan pasaran terbuka negara-negara yang sedang membangun, spesis ini tidak kisah sangat, malah nampak kecenderungannya bergiat di negara-negara yang kurang kebebasan. Tidak peduli jika rejim itu mengamalkan aparthied, atau sistem despot keluarga yang solih atau tidak, atau pemerintahan kuku besi yang mengegas rakyatnya, atau sistem diktator proletariat, yang tidak teragak-agak membunuh anak mudanya di dataran kebebasan... Tidak peduli jika permata itu berdarah dan membiaya perang saudara, atau atas keringat anak-anak kecil yang hilang zaman kanak-kanaknya, atau upah pekerja kilang di bawah tahap fakir! Dan untuk minyak, kehausan yang tidak terhingga, semua orang jadi gila, bukan saja konglomerat swasta malah kerajaannya juga. Menjajah pun tidak mengapa.

Institusi mega swasta ini bertemu dengan satu makhluk yang sepatutnya tiada dalam kamus Kapitalis. Namanya sovereign fund (dana kerajaan). Dana milik negara. Bukankah modal takut dimilik negarakan? Bila dana kerajaan berfungsi sebagai dana pelaburan, seperti institusi swasta lain, tidaklah meresahkan Barat. Kalau setakat pelaburan dari negara kaya di Teluk yang pada kita amat besar itu, Amerika tidak perlu bertanya-tanya, ikut pasang surut pasaran. Tetapi apabila dana itu teramat besar dan berupaya membeli apa saja syarikat gergasi swasta Barat, itu amat membimbangkan. Sebenarnya, bukan Barat sahaja yang harus bimbang! Banyak jenama Barat sudah dibeli oleh China. China menyebabkan Barat ketar lutut. Ini bukan dana kerajaan biasa. Jumlahnya teramat besar. Keuntungan dari pembangunan ekonomi yang pesat di China lima belas tahun kebelakangan ini, terpusat menjadi dana yang amat besar. Dana ini bukan terkumpul dari cukai. China tidak mengamalkan demokrasi. China tidak mengamalkan 'the small government.' China adalah 'the big government.' China memilih apa yang ia hendak amalkan. Kerajaan menjadi pemain utama dalam ekonomi. Modal milik swasta bertembung dengan dana gergasi kerajaan. Pegangan USD-nya cukup besar hingga Amerika perlu bersyura dengan China.

Amerika meniup wisel. Yuan dikawal oleh kerajaan China dan bukan oleh kuasa pasaran. Kadarnya jauh lebih rendah dari yang sepatutnya. Ini memberi kelebihan kepada eksport China. Ini persaingan yang tidak adil. Senate akan mengenakan tindakan jika China tidak membetulkan nilai mata wangnya, ugut Amerika. Tapi kini, apa yang Amerika hendak, tak semestinya Amerika dapat.

Reaksi China menunjukkan status barunya. Ia bertindak berasaskan perkiraannya sendiri. Ia boleh tutup telinga kepada Amerika. Ekonomi China memang terikat dengan pasaran antarabangsa dan status ekonomi Amerika memberi kesan kepadanya. China mementingkan ekonominya kerana pembangunan ekonomilah menjadi keabsahan (legitimacy) kerajaannya pada mata rakyat. Rakyat tidak memilih kerajaan. Selagi pembangunan ekonomi kukuh, kerajaan China selamat. Suara, undi, kebebasan politik belum menjadi agenda di China. Memang China akan melaksanakan sebahagian langkah yang dituntut oleh Amerika dan Eropah kerana China berhadapan dengan faktor-faktor ekonomi yang sama, tetapi sejauh mana dan bila akan ditentukan oleh China sendiri. Dari dulu China tidak suka bertindak atas desakkan negara luar.

Tambah pula Amerika juga bersalah melakukan apa mereka dakwa China lakukan. Mereka memanggilnya quantitative easing. Sudah dua kali. Polisi menambah pengeluaran wang untuk membeli securities kerajaan dan lain-lain dari pasaran. Kesan yang ingin dicapai adalah membanjiri institusi kewangan dengan modal agar menggalakkan kecairan dan meninggkatkan pemberian pinjaman. Dalam bahasa mudah, mencetak wang untuk membeli hutang agar institusi kewangan boleh memberi hutang lain. Ini juga dianggap sebagai manipulasi kewangan menjadikan nilainya lebih rendah. Kawah mengata anu kuali hitam.

Peta kuasa ekonomi dunia sedang berubah. Amerika-Eropah-Jepun sudah tergugat. Sedang beralih kepada China-India-Brazil. Adakah perubahan ini akan berlaku dengan licin? Pandaikah orang putih turun takhta? Adakah senjata yang banyak itu diketepikan dan realiti diterima dengan magnimity?

Apa yang kita lihat sedang berlaku sekarang ini adalah kegagalan sistem. Bergantinya negara yang mengepalai sistem Kapitalis ini tidak akan menyelamatkannya. Sepanjang tiga abad model Liberal-Kapitalis digerakkan, ia kini bertemu dengan cerunan (the edge). Sudah tidak ada ruang untuk menampung kelemahannya. Modal sudah tiada tempat untuk hinggap. Sumber alam sudah nampak susutnya. Alam sekitar sudah rosak. Kehidupan manusia tidak tentu arahnya.

Sudah tiba masanya manusia mencari pilihan yang lain. Sudah sampai masanya manusia kembali memikirkan perkara yang asas. Back to basics. Persoalan yang tidak mudah. Membebaskan diri dari belengu kebuntuan, melihat formula lain. Erti kehidupan. Apa matlamat kehidupan. Manusia baik atau jahat. Sistem bebas atau kawalan. Di sini sahaja atau dalam perjalanan. Alam semesta pemerhati atau sebahagian. Aku tuhan atau ada yang Maha Esa. Akal atau Kitab.

Akal mengatasi Kitab inilah yang kita saksikan. Ekonomi berasaskan riba’ (mereka kata faedah), hutang (mereka panggil kredit), spekulasi (mereka sebut sentimen pasaran), produk samar (mereka kata produk baru). Padahnya terbukti.

Persimpangan ini adalah persimpangan peradaban. Lazim peradaban runtuh atas sebab kelemahannya sendiri. Kelemahan sistem dan moralnya. Jarang ia jatuh kerana ditolak dari luar. Yang menggantikan pada mulanya tidaklah nampak boleh melakukannya. Matematiks dan logik kata begitu. Bezakan statistik Madinah dengan Parsi dan Rom. Jane akan kata, impossible. Tapi Rom dan Parsi sedang reput dari dalam dan Madinah sedang menaik. Hasil pertembungan itu pasti.

Inilah yang kita saksikan sekarang. Peralihan peradaban. Perubahan tidak berlaku esok tetapi kafilah sudah berlepas. Lihat kekentalan umat di serata dunia menghadapi cabaran.

Rasuah

Bank Dunia membuat anggaran berikut:

1. kos rasuah mencecah 5 peratus daripada the global gross domestic product (US$ 2.6 trilion), dengan sejumlah US$ 1 trilion dibayar sebagai rasuah.

2. rasuah mengakibatkan 10 peratus kos menjalankan perniagaan di seluruh dunia dan setinggi 25 peratus kos mendapatkan kontrak di negara-negara membangun.

3. memindahkan perniagaan dari negara yang rendah kadar rasuahnya kepada yang pertengahan atau tinggi sama seperti dikenakan cukai sebanyak 20 peratus.

4. ada negara yang kehilangan sehingga 20 peratus pendapatan dalam negara disebabkan rasuah.

Laporan UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime) 2010 menyatakan rasuah adalah halangan terbesar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Walaupun ia fenomena global namun ia lebih mengesani orang miskin. Ia mengherotkan pasaran, membantutkan pertumbuhan ekonomi dan melesapkan dana untuk perkhidmatan masyarakat. Apabila wang kerajaan (baca, rakyat) disedut ke dalam akaun persendirian, sumber akan berkurangan untuk membina sekolah, hospital atau jalanraya. Apabila bantuan asing lesap ke dalam kantung peribadi, projek infrastruktur yang besar tergendala.

Rasuah memudaratkan demokrasi, menyekat kemampuan kerajaan untuk berfungsi secara berkesan untuk menyediakan perkhidmatan yang kritikal untuk rakyat. Ini boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan.

Rasuah juga menggugat keluhuran undang-undang (undermines the rule of law), membolehkan kumpulan jenayah terancang, termasuk pengedar dadah, senjata, sumber alam dan manusia untuk berkembang dengan pesat. Ini boleh menjejaskan keselamatan. Malah rasuah juga memudahkan jaringan pengganas.

Namun tiada sebab mengapa ia tidak boleh dihalang. Rasuah bermula dengan keputusan peribadi, selalunya digerakkan oleh ketamakan atau kemiskinan. Oleh itu, untuk menyekat rasuah dan membina budaya integriti dan keluhuran undang-undang adalah tanggung masyarakat, bukan kerajaan sahaja, malah semua individu.

The United Nations Convention against Corruption (UNCAC) adalah dokumen global anti-rasuah yang mempunyai kuatkuasa undang-undang yang pertama. Ia memestikan 143 negara yang telah mengesahkannya untuk membenteras dan menjadikan rasuah sebagai jenayah, mempromosi kerjasama antarabanga, mendapatkan semula aset yang dicuri dan meningkatkan bantuan teknikal dan pertukaran maklumat. Konvensyen ini untuk sektor awam dan swasta.

Malaysia telah menandatanganinya pada 9 Disember 2003 and mengesahkannya pada 24 September 2008 (with reservations on Article 66, paragraph 3 and paragraph 2)

Semua sudah tahu.

Apa yang diperlukan adalah perang habis-habisan. Apa yang diperlukan adalah pendekatan yang menyeluruh.
Membina budaya beramanah memerlukan usaha semua; kerajaan, perniagaan, media, masyarakat madani (civil society) dan anggota masyarakat umumnya. Itu benteng yang asas.

Kita juga perlu memastikan wujud urus tadbir yang baik (good governance). Good governance bermula dengan mengamal dan mempertahankan:

1. keutuhan Perlembagaan
2. the Rule of Law
3. pengasingan kuasa

Good governance juga memerlukan:

1. pembangkang yang berwibawa (a strong and credible opposition)
2. Kehakiman yang bebas (an independent judiciary)
3. Perkhidmatan Awam yang tidak memihak (an impartial civil service)

Dalam memerangi rasuah good governance juga memerlukan ketelusan, pertanggungjawaban dan pengupayaan anggota masyarakat. Untuk ini undang-undang kebebasan maklumat dan undang-undang melindungi (malah menghargai) pemberi maklumat (whistle-blowers) perlu digubal segera. Undang-undang rahsia rasmi pula mesti dipinda.

Semua pihak ada kepentingan dalam memerangi rasuah. Kebelakangan ini kerajaan nampak melakukan sesuatu dengan mendakwa tokoh-tokoh politik. Teruskan. Selesaikan kesemuanya termasuk lapan belas diperkatakan. Selesaikan kes kotak Ezam. Mengapa kita percaya kerajaan boleh melakukan jauh lebih banyak dari ini? Pendakwaan kedua-dua kes berprofil tinggi merupakan kes yang belaku semasa mereka menjawat jawatan menteri. Apakah langkah-langkah yang telah diambil agar kes serupa tidak sedang berlaku sekarang? Apakah rakyat perlu menunggu hingga mereka hilang pengaruh dan musuh politik mereka mula berani baharu kita mendengar tindakan? Apakah perubahan kerajaan diperlukan untuk menyingkap segala onar? Apa pula jaminan yang baru tidak serupa? Saya yakin rakyatlah sahaja yang boleh meluruskan. Perlu sentiasa prihatin, senentiasa siap siaga. Saya percaya masyarakat madani boleh memainkan peranan yang besar. NGOs boleh memberi tekanan kepada kerajaan dan perniagaan, kerana undi dan kuasa beli sesungguhnya keramat dalam sistem hari ini. Usaha memerangi rasuah mesti dirangka dan digarap dengan bersungguh-sungguh. Ayuh, ikhwah dan akhawat, kita mengorak langkah.

Perhubungan antara Penganut Agama

Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKPA) telah ditubuhkan oleh Jemaah Menteri. Kita menyokong dan terlibat melalui Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN). Banyak yang baik boleh dicapai. Namun cabarannya besar. Kita menganggap ini sebagai menjawab seruan negara. Kini banyak petanda yang baik.

Melakarkan semula sejarah perkembangan ini mempamirkan liku-liku yang telah dilalui dan cabaran yang akan mendatang.

Sejarah penubuhan Jawatankuasa ini berlatar belakangkan usaha sejak zaman Tun Abdul Razak, cadangan penubuhan IRC dan kemudian IFC, usaha Panel Perpaduan serta berberapa dialog di antara organisasi agama. Pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan juga diambilkira hingga tertubuhnya JKMPKPA kini.

JKMPKPA bermula dengan pendirian yang berbagai. Wujud pola-pola pemikiran yang memberi impak. Di antaranya:

1. Pendirian masyarakat antarabangsa dari sudut Hak Asasi Manusia
2. Tuntutan dan concerns penganut-penganut agama lain.
3. Tuntutan dan concerns orang Islam

Sejarah penubuhan JKMPKPA menjadikan ia diperhatikan oleh masyarakat dan kelompok yang mempunyai pelbagai kepentingan (under public scrutiny). Begitu juga prestasi kelompok Islam akan diperhatikan oleh umat. Jadi JKMPKPA dan penglibatan kita di dalamnya menghadapi cabaran yang amat besar.

Namun JKMPKPA akan terpaksa menangani isu-isu yang sukar. Kita harus menganggap JKMPKPA ini sebagai wadah membincang dan meneroka penyelesai kepada isu-isu sukar yang wujud di antara penganut-penganut agama, dalam suasana muhibah. Kita harus mengelak dari memandangnya sebagai perbatasan (front-line) pertembungan di antara agama.

Walaupun kompenen JKMPKPA seolah-olah membayangkan permasalahan di antara orang Islam dan penganut agama lain, namun permasalahan yang serius juga wujud di antara penganut-penganut agama lain itu.

Oleh itu kita terlibat dengan pendekatan yang positif, memupuk semangat satu pasukan bagi JKMPKPA, sebagai sumbangan kepada negara. Sebagai premis penglibatan kita memahami:

1. keamanan suasana terbaik untuk dakwah
2. tiada campur tangan dalam urusan agama orang lain
3. orang yang kuat pegangan agama akan menjadi warga yang baik
4. pada prinsipnya, semua isu boleh dibincangkan walaupun penyelesaian yang disepakati mungkin tidak ditemui

Untuk memainkan peranan yang baik kelompok Islam perlu mengukuhkan hubungan dan kerjasama sesama organisasi Islam. Membina persefahaman sesama umat akan meneguhkan langkah kita dalam JKMPKPA. Ia juga mengelakkan yang terlibat dalam JKMPKPA ini dari tersisih atau ditentang oleh umat sendiri.

Dua langkah ini boleh membantu:

a. usaha dakwah bersama; mewujudkan dan menggerakkan Pelan Dakwah Nasional

Tiada yang merapatkan hubungan dan persefahaman seperti berkerja bersama-sama dalam dakwah. Usaha merangkumi dakwah (strategi dakwah kepada non-Muslim, latihan pendakwah, sokongan kepada pendakwah), sokongan kepada saudara baru (kebajikan dan ukhuwah) dan menangani gejala murtad.
Sasarkan 80% penduduk Malaysia beragama Islam menjelang 2020

b. memperbanyakkan muzakarah sesama organisasi Islam (intra-group engagement) bagi membincangkan isu-isu kepentingan umat

JKMPKPA perlu dilihat sebagai contoh muhibah. Ia perlu membina integriti dan penerimaan masyarakat.

JIM

JIM juga di persimpangan. Persimpangan yang baik. Pertubuhan IKRAM Malaysia sudah diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 2009 bersamaan 4 Zulkaedah 1430H.. Dengan tertubuhnya IKRAM perbincangan kita diteruskan untuk menentukan status akhir JIM.

Adakah kita akan membubarkan JIM?

Mari kita catatkan bagaimana kita sampai kepada persoalan ini.

1. Asal-usul kita dari luar negara, United Kingdom, Mesir, Amerika, Australia, Kuwait India, Maghribi, Jordan dan beberapa negara lain. Kita mendapat sentuhan dari gerakan Islam dari Negara Arab (Ikhwan al-Muslimun), Turki (Nursi) dan Pakistan (Jamaat-e-Islami). Tarbiah dan dakwah menjadi pendekatan kita.

2. Kita kembali pada pertengahan tahun tujuh puluhan. Menggerakkan usaha dakwah dan tarbiah terutamanya dikampus-kampus. Penglibatan kita berbagai saluran.

3. JIM ditubuhkan pada tahun 1990, menceburi medan masyarakat madani. Selepas bergiat selama dua dekad, JIM telah menempatkan dirinya di dalam masyarakat.

4. Pencapaian JIM, di antara lain:

a. Kedudukannya (“positioning”) di kalangan rakan-rakan NGO Islam.
JIM memainkan peranan besar dalam pelbagai gabungan NGO Islam, seperti ACCIN dan MAIM.

b. Kedudukannya (“positioning”) di kalangan NGO lain dan masyarakat madani (‘civil society”).
Walau pun pegangan JIM jelas, memperjuangkan pelaksanaan syariah, JIM tetap bersama dan diterima oleh NGO lain dalam usaha sama memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia, good governance dan kebaikan, untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. JIM terlibat aktif dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Bersih 2.0, MAFREL dan Viva Palestina Malaysia.

Keanggotan kita melalui ACCIN dalam Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JKMPKPA) membuka luas perhubungan dan kerjasama dengan NGO-NGO agama lain.

c. Kedudukanya (“positioning”) di kalangan parti politik

JIM berpegang kepada prinsip (“principle centred”) dan berhubungan (engage) dengan parti-parti politik demi kebenaran dan kebaikan.

d. Jaringan (“networking”) dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan

Melalui penglibatan kepemimpinan JIM dalam JKMPKPA, Ahli Majlis Perundingan Islam Kebangsaan (JAKIM) dan Ahli Majlis Anti-Dadah Kebangsaan PEMADAM perhubungan diperluaskan.

e. JIM juga dikenali oleh masyarakat melalui institusi-institusinya seperti:

i. Sekolah Rendah dan Menengah Islam al-Amin
ii. Rumah Perlindungan Remaja Putri Raudhatus Sakinah
iii. Hidayah Centre
iv. Tadika Amal
v. Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)
f. Program-program JIM juga mendapat sambutan masyarakat, seperti:
i. Korban dan Rayuan Ramadan
ii. Keindahan Bersama Mu (KBM)
iii. Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ)
g. Ahli-ahli yang berilmu, berkebolehan, berpengalaman dan berdisiplin
Lebih sepuluh ribu ahli serata negara. Ramai yang melalui tarbiah yang formal dan tidak formal. Berpegang teguh kepada perjuangan dan menghayati ‘amal jama’iy. Aset utama JIM.

5. Sejak 2003, perbincangan telah dimulakan untuk mengumpulkan ahli dan usaha di dalam satu wahana, menyatukan kembali sahabat dan taulan yang telah menceburi berbagai penglibatan. Objektif utama adalah untuk menilai pencapaian dan pengalaman dan menggariskan langkah-langkah yang terbaik bagi dakwah di Malaysia. Akhirnya, setelah kajian dan syura, keputusan dicapai pada Mac 2006 untuk menubuhkan sebuah NGO.

NGO dipilih kerana ia merupakan wadah yang paling sesuai untuk membawa risalah dakwah dalam konteks Malaysia. Kita yakin NGO mampu memimpin perubahan.

6. Pertubuhan yang baru itu akhirnya terdaftar sebagai Pertubuhan IKRAM Malaysia. Di antara ciri-ciri istimewanya adalah:

a. Berdiri di atas minhaj taghyir Nabi Muhammad s.a.w. dan kitaran amal yang sempurna
b. Penekanan kepada tarbiah ahli dan pembangunan insan
c. Penekanan kepada kualiti melalui pemeringkatan tarbiah ahli
d. Penggabungan (consolidation) semua sumber (ahli dan institusi) serta aset kita
e. Perhubungan antarabangsa yang luas
f. Rumah baru, tiada yang dagang.
7. JIM telah mengadakan beberapa muzakarah dan satu Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas untuk membincangkan langkah-langkah yang terbaik bagi JIM. Resolusi PPN Khas itu diturunkan sepenuhnya.

Menyokong dan Menjayakan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Resolusi PPN Khas

Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang berhimpun pada hari Sabtu 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431 di Dewan Besar Sekolah Menengah Teknik Gombak mengambil maklum latar belakang berikut:

1. Kita memahami Islam sebagai ad-din dan daulah, Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber asal dan asas, perlaksanaan syariah sebagai rahmat bagi seluruh alam, penegakan Islam perlu menggunakan manhaj (metodologi) yang ditunjukkan oleh ar-Rasul (SAW) melalui gerakan Islam yang komprehensif (syumul) dan kontemporari (semasa).

2. Kita memulakan langkah dengan membina insan yang berilmu, beriman dan beramal hingga akhlaknya adalah al-Quran; setiapnya menjadi pembawa kebenaran, pengamal kebaikan, penjamin keadilan dan pelindung manusia dari kezaliman.

3. Kita percaya kekuatan Islam itu ada pada risalahnya, gerakan yang memperjuangkannya, kepemimpinan dan pendukungnya serta rekod sumbangan, pengorbanan dan pencapaiannya.

4. Kita menjejakkan kaki di Malaysia pada 1975. Kita bermula dengan mengetepikan kepentingan bergerak di bawah gerakan yang dibina sendiri demi menjaga, menurut pertimbangan kita, kesatuan ummah. Namun atas keperluan dan pertimbangan yang mendalam, JIM telah ditubuhkan pada tahun 1990. Kehilangan lima belas (15) tahun itu bermakna kita telah tidak mendapat faedah bergerak secara terbuka pada jangka masa yang lama. Di antara lain ia memberi kesan-kesan negatif berikut:

a. tiada wadah utama yang mendukung risalah kita dan oleh itu tiada rallying point untuk dakwah kita.
b. tidak dapat mengamalkan sepenuhnya semua piawaian, best-practices, dan good governance dalam organisasi.
c. kewujudan kita tidak dirasakan oleh masyarakat umum dan civil society organisations. Sebahagian besar para pemimpin kita juga hilang zaman belianya dari pandangan masyarakat.
d. terbentuk pandangan yang insular (eksklusif, dalaman) di kalangan sebahagian ahli.
e. ramai ahli bertebaran memilih bidang penglibatan, membina nama dan institusi sendiri tanpa berpandukan perancangan yang tersusun.

5. JIM telah mengambil masa yang lama untuk mengambil tempat yang ia duduki sekarang. Kita akrab dengan pertubuhan-pertubuhan Islam, rapat dengan agensi dan institusi Islam, pertubuhan-pertubuhan agama lain, parti-parti politik, NGO-NGO, persatuan pengguna dan beberapa kedutaan asing.

6. Di samping JIM, beberapa wadah lain juga bergerak sama, kadangkala dengan pendekatan, program dan dalam medan yang sama, dimana ianya tidak mengoptimumkan tenaga penggerak dan boleh menyebabkan perpecahan.

7. Dengan perkembangan dakwah kebelakangan ini telah timbul keperluan untuk:

a. menyepadukan (consolidate) semua ahli (sejak usrah bermula), sumber dan pencapaian di bawah satu organisasi dan satu perancangan.
b. membina organisasi yang lebih mantap; menginstitusikan amalan tanzimi Islam, memberi penekanan kepada tarbiah serta mengembangkan jaringan dan kegiatan di peringkat antarabangsa.

Ini dirancang dengan memanfaatkan semua kejayaan yang telah dicapai dan tanpa merencatkan sebarang kegiatan dakwah yang sedang dilaksanakan. Budaya dan amalan gerakan terbuka yang jelas memberi manfaat kepada dakwah dan Islah, seperti yang dilaksanakan oleh JIM, perlu diteruskan dan diperteguhkan.

8. Hasilnya adalah tertubuhnya Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang telah diluluskan pendaftaran pada 22 Oktober 2009.

Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas JIM 2010 mengambilkira:

1. JIM adalah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu tertakluk kepada Perlembagaannya serta kepada Undang-undang negara dan Peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
2. JIM sedang memainkan peranan yang besar dalam medan masyarakat madani (civil society).
3. JIM adalah milik ahli-ahlinya dan oleh itu ahli-ahli JIM mempunyai hak dan kepentingan yang tidak boleh diabaikan.
4. Ramai ahli dan kepemimpinan JIM terlibat di dalam usaha menubuhkan IKRAM.
5. Ramai ahli-ahli JIM menganggotai dan memimpim IKRAM.
Dengan itu, Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang berhimpun pada hari ini, Sabtu 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431 bersetuju untuk menyokong dan menjayakan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Ini bermakna JIM akan mengambil langkah-langkah berikut:

1. meminta semua ahli-ahli JIM untuk menganggotai IKRAM
2. JIM dan Wanita JIM meneruskan aktiviti:
a. melibatkan pihak luar, seperti gabungan dan usahasama di kalangan NGO (rujuk RJIM 2 U1N), sehingga IKRAM mengambil-alih peranan JIM sekarang dengan baik.
b. institusi-institusi termasuk sekolah, tadika, MGI (Majlis Guru Islah), PERINTIS, Hidayah Centre, Raudhatus Sakinah, PACE (Palestinian Centre of Excellence), NICE (Nusantara Islah Centre of Excellence), KIMB, DERU, I-Bantu dan Karisma, sehingga proses perpindahan dapat dijayakan.

3. menggerakkan aktiviti-aktiviti lain melalui IKRAM, termasuk

a. tarbiah ahli
b. aktiviti-aktiviti remaja
c. aktiviti-aktiviti belia
d. aktiviti-aktiviti di institusi pengajian tinggi

4. Status akhir (final status) JIM dicadangkan akan ditentukan oleh JIM di dalam Perhimpunan Perwakilan Nasional 2010. Keputusan ini penting dalam menentukan status institusi dan aset JIM.
Bagi tujuan itu, PPN Khas ini memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat JIM untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengkaji pilihan sama ada:

a. JIM dikekalkan dengan peranan yang baru, atau
b. JIM dibubarkan.

Kajian akan turut merangkumi aspek teknikal dan perundangan.

8. Hari ini kita akan mula membincangkan status akhir JIM.

9. Jawatankuasa Pusat JIM mencadangkan, status akhir JIM, pembubaran. Proses pembubaran itu dibuat dengan teliti supaya ahli dan aset berpindah dengan baik.

Cadangan Jawatankuasa Pusat JIM ini berasaskan hujah berikut:

a. menjayakan sepenuhnya konsolidasi aset dan usaha,

Perlu sebumbung, satu nama, satu tanzim, satu kemimpinan dan satu tumpuan wala’. Pertindahan penggunaan sumber akan dapat dielakkan.

b. mengelakan kecelaruan jenama (brand confusion). Jika nama JIM masih ada, masyarakat boleh keliru.

c. memusatkan usaha membina yang baru dan bukan menyenggara JIM yang dirombak Fokus diperlukan untuk membina kekuatan baru dan menggarap dakwah.

d. jika ingin dihidupkan dengan peranan lain, lebih baik daftarkan yang baru.

Mengubah struktur JIM kepada keahlian terus, atau pun hanya mempunyai cawangan Negeri akan melibatkan pindaan perlembagaan yang ekstensif.

Kalau pun ia ditukarkan nama atau peranannya keanggotaan 10,000 orang ahli tetap ahli, apa pun bentuk organisasi yang dirombak itu.

Lebih mudah dan baik mendaftarkan yang baru.

e. ada permulaan dan kesudahan kepada JIM, membolehkan IKRAM memanfaatkan dan menyambung apa yang JIM sudah capai (seamless)

Ini boleh menggelakkan isu legacy tidak dipindahkan seperti yang berlaku kepada transformasi ABIM kepada Wadah (maaf dipohon).

f. jika JIM tidak dibubarkan, ahli lain boleh menggerakkannya semula, seperti yang berlaku kepada Partai Rakyat Malaysia selepas ia bergabung dengan Parti Keadilan Nasional.

Akhir sekali.....

Yang tidak baik, mohon Allah kesimpangkan!

Semoga-moga Allah merahmati perhimpunan ini. 
Semoga-moga Allah sentiasa melindungi hadirin sekalian.

Selamat bermuktamar!

Zaid Kamaruddin

sumber : jim.org.my

No comments:

Post a Comment