
(Ucapan Dasar Ketua Wanita JIM 2010)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala pujian bagi Allah s.w.t. yang telah memberikan petunjuk dan keizinan-Nya untuk kita semua menikmati kemanisan iman dan keindahan Islam.
Salawat dan salam buat Junjungan Besar, ar-Rasul teragung, Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Ucapan dasar yang akan saya sampaikan ini merupakan Ucapan Dasar Ketua Wanita sulung saya selaku Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia sesi 2009 -2011 setelah mengambil alih kepimpinan daripada Prof Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj pada Perhimpunan Perwakilan Wanita tahun lepas. Jika selama ini saya hanya mendengar dan membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita sahaja, setelah menerima amanah kepimpinan, kali ini ia menjadi tanggungjawab kepada saya untuk menulis dan membentangkan Ucapan Dasar Ketua Wanita yang diharapkan dapat menjadi panduan gerak kerja dakwah kepada Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia untuk terus bergerak ke hadapan dalam perjuangan menegakkan syariah di negara tercinta ini.
Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi Allah s.w.t.,
Beberapa Peringatan dan Pendekatan Perhimpunan Kita
Setiap tahun kita berkumpul dalam Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional (PPWN) ini untuk menjalankan tanggungjawab yang digariskan dalam perlembagaan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Kita berkumpul bagi melihat perjalanan organisasi dakwah kita ini bagi memastikan segala tindakan dan keputusan yang kita ambil sejajar dengan apa yang disarankan oleh al-Quran dan as-Sunnah, memuhasabah dan menilai diri sendiri, keluarga dan gerak kerja organisasi dakwah yang kita anggotai agar ia dapat maju ke hadapan dan bergerak secara terancang dan tersusun dalam usaha kerdil meraih keredhaan Allah s.w.t.