Assalamualaikum wrt bth.
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki di alam yang fana ini. Selang beberapa hari lagi kita akan memasuki tahun baru hijrah 1432.
Khatib mengambil ruang khutbah ini untuk mengajak umat Islam merenung satu perjuangan agung yang telah berlangsung sejak seabad yang lalu.
Khatib memilih untuk mengulas isu ini kerana rata-rata umat Islam seolah-olah lupa dengan penderitaan yang masih ditanggung oleh umat Islam di Gaza. Serangan besar-besaran telah dihentikan pada akhir Januari 2009 namun dengan berhentinya serangan tersebut ia tidak membawa apa-apa harapan kepada rakyat Gaza. Mereka terus dikepung, terus dikenakan sekatan ekonomi, terus dihalang dari mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, bekalan air bersih, bahan binaan dan bahan bakar. Kedudukan mereka tidak pernah berubah sejak empat tahun yang lalu apabila Israel menutup sempadan keluar-masuk dan laluan laut dan udara. Yang lebih memilukan ialah Negara umat Islam yang berjiran dengan Gaza iaitu Mesir turut tunduk kepada tekanan Israel dan menutup satu-satunya laluan ke Mesir dipintu masuk Rafah. Bahkan sewaktu rakyat Gaza yang tercedera cuba untuk mendapatkan rawatan di Mesir, mereka telah dihalang dari memasuki sempadan sehingga ada yang meninggal kerana menunggu beberapa hari di pintu masuk. Bukan sahaja penduduk Gaza tidak dibenarkan menyeberang masuk bahkan bantuan perubatan yang datang dari seluruh dunia juga tidak dibenarkan masuk untuk menghantar doktor, ubat-ubatan dan peralatan untuk rawatan. Sesungguhnya dunia belum pernah menyaksikan kezaliman yang begitu menyolok mata yang dilakukan oleh umat islam sendiri ke atas saudara-saudara seagama mereka.
Berbanding dengan pendirian Mesir dan regim-regim Negara Arab yang bersekongkol dengan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat kita lihat beberapa inisitif yang diambil oleh warga dunia yang begitu prihatin dan sanggup meletakkan nyawa mereka dalam bahaya untuk membantu rakyat Gaza atas dasar kemanusiaan yang tulus. Kita menyaksikan bagaimana lebih dari 700 orang di mana di kalangan mereka terdapat seratus lebih sukarelawan bukan Islam berganding bahu menyabung nyawa untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza melalui jalan laut. Kita mengikuti peristiwa cemas apabila kapal Mavi Marmara yang mereka naiki diserang oleh Israel sehingga 9 orang dari mereka menemui syahid. Alhamdulillah umat Islam dari negara kita seramai 10 orang yang berada di atas kapal turut merasai medan jihad fizikal, satu anugerah yang cukup besar bagi mereka. Usaha ini kemudiannya disusuli pula dengan konvoi darat yang disertai oleh lebih dari seratus kenderaan yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober yang lepas. Sekali lagi umat Islam di negara ini turut serta. Seramai 12 orang sukarelawan berjaya membawa masuk 6 buah ambulan dengan peralatan perubatan ke Gaza. Semuga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada rakan-rakan kita yang mengambil bahagian dalam misi-misi kemanusiaan yang lalu dan yang akan terus dianjurkan sehinggalah bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa dikembalikan ke pangkuan umat Islam.
Kita juga menyaksikan betapa prihatinnya masyarakat antaranbangsa yang bertungkus lumus untuk membela rakyat Palestin. Richard Goldstone, seorang berbangsa Yahudi telah mengumpulkan semua bukti-bukti sehingga berjaya mengemukakan satu dakwaan jenayah perang ke atas Israel. Laporan ini dibentangkan di PBB dan disokong oleh majority negera anggota. Seperti yang diduga AS dan sekutu-sekutunya telah mengutuk laporan Goldstone. Pada awal tahun ini mahkamah Britain telah mendakwa Tzipi Livi, mantan Menteri Luar Israel sebagai penjenayah perang dan dikeluarkan waran tangkap kepada beliau. Meskipun atas desakan Israel, Perdana Menteri Gordon Brown memohon maaf dan berjanji untuk menukar prosedur undang-undang Britain, namum mahkamah telah mengambil satu tindakan yang berani dan berdasarkan prinsip perundangan yang saksama.
Di kalangan rakyat US yang prihatin, usaha sedang dilipat gandakan untuk memboikot barangan yang dibuktikan telah menyumbang kepada ekonomi Isreal. Mereka berjaya menggagalkan Motorola dari mendapat kontrak perniagaan kerana tekanan dari NGO US. Motorola adalah syarikat yang membekalkan fuse yang digunakan untuk meledakkan bom yang digunakan oleh Israel. Mereka juga giat menekan Caterpillar, syarikat pengeluar traktor supaya tidak digunakan di Isreal untuk merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat. Beberapa barangan pengguna yang popular seperti McDonald, Coca Cola, Loreal dan Nestle juga menjadi sasaran sebahagian besar dari masyarakat antarabangsa untuk diboikot kerana sokongan syarikat-syarikat ini kepada Israel.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita bandingkan kepekaan masyarakat antarabangsa yang bukan beragama Islam tetapi amat prihatin atas nasib saudara-saudara seagama kita di Palestin. Bagaimana pula dengan sikap dan pendirian umat Islam sendiri. Kita melihat umat Islam sendiri kadang-kadang tidak menunjukkan kepekaan langsung terhadap isu ini. Walhal yang menjadi perhitungan bukan sekadar sebidang tanah atau sebuah Negara asing, tetapi sebuah bumi suci di mana terletaknya tanah suci umat islam yang ketiga dan Masjid al-Aqsa yang menjadi destinasi Isra’ Rasulullah SAW.
Al-Israa` ayat 1-4:
سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Apakah jiwa umat Islam sudah mati sehingga mereka tidak merasakan apa-apa? Apakah mereka tidak menghayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
Dari shahabat Abu Sa’id Al Khudri, bahwa Rasulullah bersabda:
يَسْتَطِعْ لَمْ وَإِنْ بِيَدِهِ فَلْيُغَيِّرْهُ مُنْكَرًا مِنْكُمْ رَأَى مَنْ
الإِيْمَانِ أَضْعَفُ وَذالكَ فَبِقَلْبِهِ يَسْتَطِعْ لَمْ وَإِنْ فَبِلِسَانِهِ
“Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaknya dia mengingkarinya dengan tangan. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya, yang demikian ini selemah-lemahnya iman.” (Muttafaqun ‘alaihi)
Apakah umat Islam yang merasakan dirinya lemah tidak sanggup meninggalkan beberapa produk cuma yang telah dikenalpasti tanpa ragu-ragu telah membantu Israel. Dalam kemewahan dan keselesaan yanhg melimpah-ruah ini umat Islam di Malaysia masih tidak sanggup untuk menggantikannya dengan banyak produk yang lain. Sedarkah kita di saat kita tidur nyenyak dalam rumah-rumah kita yang selesa dan lapang, saudara kita di Palestin kini berlindung dalam khemah-khemah dalam kedinginan musim sejuk kerana rumah mereka telah dibom oleh Israel? Sedarkah kita, ketika anak-anak kita bergembira menikmati makanan segera McDonald, anak-anak kita di Gaza mengalami kekurangan zat makanan? Apakah jawapan yang pantas kita berikan di hadapan Allah SWT nanti? Di manakah kita hendak letak pengertian hadis ‘Sesungguhnya umat Islam itu ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.? Apakah kita masih beriman dengan ayat ‘Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara’?
Surah al-Hujurat ayat 10
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (١٠)
Apakah yang akan kita jawab di dalam pusara nanti apabila Malaikat menanyakan soalan ‘Siapakah saudara-saudara kamu’? Apakah jawapan yang akan kita berikan? Apakah kita sanggup menjawab ‘seluruh umat islam saudara-saudara kita’ sedang ketika hidup di dunia kita tidak pernah memikirkan tentang mereka, bahkan kita khianati mereka dan kita bantu musuh-musuh kita memusnahkan kehidupan mereka dan membunuh mereka.” Walhal apa yang sepatutnya kita lakukan ialah berjihad bersungguh-sungguh untuk membela umat Islam.
“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!”
(Al-Nisaa` : 75)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Di saat kita menyambut Ma'al hijrah dengan pelbagai cita-cita dan harapan untuk melakukan perubahan dalam hidup kita supaya hidup lebih makmur, bahagia, selesa, penuh dengan pelbagai nikmat, Ingatlah kehidupan yang sebenar ialah apabila kita meletakkan agenda Islam sebagai azam utama kita dalam hidup. Orang yang benar-benar merasai kenikmatan hidup ialah mereka yang berazam untuk berjuang pada jalan Allah. Orang yang benar-benar memenuhi matlamat hidup ialah mereka yang meninggikan kalimah Allah di muka bumi. Orang-orang yang benar-benar hidup ialah mereka yang memperjuangkan al-haq dan kebenaran. Orang-orang yang hidup dalam ertikata sebenar ialah mereka yang berjihad pada jalan Allah sehingga mereka menemui Allah dalam keadaan sedemikian.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita ajak diri kita, keluarga dan anak-anak kita untuk menghayati perjuangan umat Islam pada hari ini dalam pelbagai lapangan dan medan. Jika kita melihat Islam pada hari ini yang sedang diasak dari segenap penjuru baik dari segi akidahnya, dari segi akhlaknya, dari segi undang-undangnya, dari segi kedudukan Islam itu sendiri di Negara kita maka kita akan insaf bahawa tidak ada waktu untuk kita leka dengan pelbagai hiburan dan perkara lagha yang lain. Hari ini umat Islam terus dibuai dengan pelbagai pengisian yang tidak memberi sebarang faedah kepada pembangunan ilmu dan tamaddun. Seolah-olah rancangan reality TV yang pelbagai itu tidak mencukupi sehingga diadakan pula reality show untuk kanak-kanak (idola kecil) untuk mencungkil bakat-bakat penghibur dan artis dari peringkat kanak-kanak lagi. Yang lebih malang ialah ibu-bapa turut sama memberi dorongan kepada anak-anak mereka. Jelaslah musuh-musuh Islam sedang giat menyusun agenda untuk menghancurkan generasi muda dan masa depan Islam. Mereka sedang berusaha gigih agar sensitivity umat islam terus terhakis sehingga mereka tidak punya jatidiri dan pendirian lagi. Mereka dilatih supaya bergaul bebas lelaki perempuan, meleburkan semua batas-batas pergaulan, melanggar semua batas-batas akhlak sehingga tidak dapat dibezakan lagi di antara umat Islam dan bukan Islam dari sudut pakaiannya, dari sudut pergaulan dan dari sudut akhlaknya. Dalam keadaan sedemikian maka sudah pasti generasi akan datang bukan sahaja akan luntur keperibadian atau syakhsiah islam mereka bahkan mereka tidak lagi mengaitkan diri mereka dengan Islam dan apa yang diperjuangkan islam. Akhirnya mereka tidak bisa melihat apa hubungan mereka dengan umat Islam dan terputuslah mereka dari perjuangan umat Islam sejagat.
Marilah kita renung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah “dan apakah engkau hadir ketika Yaakub didatangi tanda-tanda kematian. Dia memanggil anak-anaknya dan bertanya kepada mereka “Siapakah yang akan engkau sembah sepeninggalanku. Jawab anak-anak Yaakub ‘Kami akan sembah Tuhannya Ibrahim, tuhannya Ismail, Tuhanya Ishaq, iaitu Tuhan yang satu, dan kami akan tetap muslim.”
Surah al-Baqarah ayat 133
أَمۡ كُنتُمۡ شُہَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِى قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبۡرَٲهِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِيلَ وَإِسۡحَـٰقَ إِلَـٰهً۬ا وَٲحِدً۬ا وَنَحۡنُ لَهُ ۥ مُسۡلِمُونَ (١٣٣)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Teks khutbah disediakan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence
No comments:
Post a Comment