(Ucapan Dasar Ketua Wanita JIM 2010)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala pujian bagi Allah s.w.t. yang telah memberikan petunjuk dan keizinan-Nya untuk kita semua menikmati kemanisan iman dan keindahan Islam.
Salawat dan salam buat Junjungan Besar, ar-Rasul teragung, Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.
Ucapan dasar yang akan saya sampaikan ini merupakan Ucapan Dasar Ketua Wanita sulung saya selaku Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia sesi 2009 -2011 setelah mengambil alih kepimpinan daripada Prof Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj pada Perhimpunan Perwakilan Wanita tahun lepas. Jika selama ini saya hanya mendengar dan membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita sahaja, setelah menerima amanah kepimpinan, kali ini ia menjadi tanggungjawab kepada saya untuk menulis dan membentangkan Ucapan Dasar Ketua Wanita yang diharapkan dapat menjadi panduan gerak kerja dakwah kepada Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia untuk terus bergerak ke hadapan dalam perjuangan menegakkan syariah di negara tercinta ini.
Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi Allah s.w.t.,
Beberapa Peringatan dan Pendekatan Perhimpunan Kita
Setiap tahun kita berkumpul dalam Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional (PPWN) ini untuk menjalankan tanggungjawab yang digariskan dalam perlembagaan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Kita berkumpul bagi melihat perjalanan organisasi dakwah kita ini bagi memastikan segala tindakan dan keputusan yang kita ambil sejajar dengan apa yang disarankan oleh al-Quran dan as-Sunnah, memuhasabah dan menilai diri sendiri, keluarga dan gerak kerja organisasi dakwah yang kita anggotai agar ia dapat maju ke hadapan dan bergerak secara terancang dan tersusun dalam usaha kerdil meraih keredhaan Allah s.w.t.
Perhimpunan kita pada tahun ini juga adalah untuk membincangkan masa depan dan gerak kerja dakwah kita seterusnya di era transformasi yang sedang kita lalui. Nyatalah bahawa hadirnya kita di perhimpunan seperti ini dari jauh dan dekat saban tahun bukanlah sekadar untuk mencatatkan laporan yang akan dihantar ke pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) semata-mata. Berkumpulnya kita semua di sini adalah untuk memantapkan gagasan dakwah ini secara tersusun bagi memacu penegakkan syariah, memperbaharui azam dan komitmen kita terhadap janji kita kepada Allah s.w.t. seperti mana yang diperintahkan Allah s.w.t. di dalam ayat ke-2-4 Surah As-Saff yang mafhumnya:
`Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?(2) (itu) sangatlah dibenci Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.(3) Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang (berjuang) di jalan Allah dalam barisan yang teratur, seakan-akan seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh’
Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi Allah s.w.t.,
Di dalam perhimpunan yang penuh barakah ini marilah kita sama-sama ingat memperingati akan matlamat hidup dan dakwah kita. Apakah kita menyangka bahawa hidup ini adalah sekadar dipenuhi angan-angan panjang dan mensia-siakan masa semata-mata? Allah s.w.t. mengingatkan kita di dalam firman-Nya di dalam surah al Mu’minuun ayat 115 yang mafhumnya:
’Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?’
Kewujudan kita di atas mukabumi ini mempunyai matlamat dan tanggungjawab di mana kita akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t. kelak apabila tiba masa dan ketikanya. Sudahkah kita sama-sama menyediakan bekalan dan hujjah untuk kita bawa di hadapan Rabbul Jalil nanti? Dengan beradanya kita di sini pada hari ini bermakna kita telah meredhakan diri kita untuk menggalas amanah sebagai para du’at iaitu mereka yang menyeru diri kita dan manusia kepada Allah s.w.t., iaitu tugas yang mulia (ahsan) di sisi Allah s.w.t. walaupun mungkin tidak dihargai oleh masyarakat bumi sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah Fusilat ayat 33 :
“Dan siapakah yang lebih baik/mulia perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ”Sesungguhnya aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)? “
Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang telah menemukan kita di jalan dakwah ini. Allah s.w.t. telah mengurniakan nikmat kepada kita untuk menyertai jamaah ini dan semoga kita terus beristiqamah di jalan ini. Begitulah pentingnya aspek istiqamah ini kerana ia juga berkait rapat dengan keimanan kita pada Allah s.w.t. Sehubungan dengan itu, marilah kita lihat kembali sebuah hadis yang di petik dari kumpulan Hadis 40, Imam an-Nawawi r.a. seperti berikut:
’Daripada Abu ’Amr, menurut satu pendapat, Abu ’Amrah, Sufyan bin Abdullah r.a berkata: ”Aku telah berkata: ’Wahai RasuluLlah s.a.w. Katakanlah satu perkataan kepadaku tentang Islam, yang tidak perlu aku menanyakan kepada orang laIn’”. RasuluLlah s.a.w. bersabda ”Ucaplah Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah kamu.” (Muslim)
Firman Allah s.w.t. di dalam surah At-taubah ayat 111 yang mafhumnya:
’Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah , sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung. ’
Seterusnya di dalam surah yang sama ayat 112 mafhumnya:
’Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan memelihara hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman’
Apabila Allah s.w.t. membeli kita tentunyalah ada kriteria-kriteria tertentu yang ada pada diri kita bagi membolehkan kita dipilih atau dibeli. Adakah kita layak dibeli-Nya dan bukan orang lain? Di dalam ayat seterusnya surah yang sama Allah s.w.t. telah menerangkan kriteria orang-orang yang memenuhi pilihan-Nya untuk urusan di atas iaitu orang yang bertaubat, beribadah, memuji Allah, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Oleh itu perlulah kita pastikan dan terus berusaha untuk memiliki ciri-ciri ini bagi membolehkan kita terpilih dalam proses jual beli ini. Kita bersyukur di atas nikmat ini dan dengan penuh sedar tahu bahawa pada bila-bila masa sahaja Allah s.w.t. boleh memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Oleh itu marilah kita zahirkan kesyukuran kita itu dengan terus melaksanakan kerja-kerja dakwah ini bersungguh-sungguh dan secara terancang. Namun demikian usahlah pula kita sampai terperangkap dengan merasakan bahawa dakwah ini berkembang kerana kita semata-mata. Sesungguhnya kita yang lebih memerlukan kepada organisasi dakwah ini dan bukan sebaliknya.
Tanpa kita, jamaah dan dakwah akan terus dan tetap berjalan, dengan izin Allah s.w.t..
Marilah kita bersungguh-sungguh memikul amanah memimpin manusia ke jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia. Kita menyeru manusia kepada Allah s.w.t. dan tidak sesekali kepada diri, individu atau kelompok dan organisasi tertentu. Tanggungjawab ini yang sepatutnya dipikul oleh setiap Muslim, telah dinyatakan dengan jelas oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Hajj, ayat 77-78 yang mafhumnya :
`Wahai orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu; dan berbuatlah kebajikan, agar kamu beruntung [77]. Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim.(Allah) telah menamakan kamu orang-orang Muslim sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (al-Quran) ini, agar Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan agar kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.’
Persiapan Diri Bangkit Membawa Perubahan
Dunia pada ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut yang saling berkait antara satu dengan yang lain. Dari keruntuhan moral yang membawa kepada segala bentuk kebejatan sosial, kemelut ekonomi hingga ke ancaman bencana alam satu demi satu akibat kepanasan global. Penduduk bumi telah mengadakan perjumpaan demi perjumpaan, mencapai persetujuan dan kata sepakat yang akhirnya dijadikan konvensyen, protokol, ada perjanjian pelbagai hala, ada pula perjanjian dua hala dan seumpamanya yang perlu dipatuhi semua dari peringkat negara, peringkat serantau dan seterusnya peringkat antarabangsa bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi, namun masih gagal menemui penyelesaian yang sebenar. Malahan satu penyelesaian yang dikenal pasti akan membawa pula kepada permasalahan lain berikutnya. Di samping itu dalam setiap konvensyen, protokol dan perjanjian yang dipersetujui ada sahaja yang tidak mematuhinya. Diadakan undang-undang, namun ada sahaja yang melanggarnya.
Undang-undang sememangnya sesuatu yang sangat penting dalam mengatur aturan hidup manusia dan susunan masyarakat. Walaubagaimana pun undang-undang semata-mata tidak akan cukup untuk membentuk dan merubah sikap dan hidup masyarakat. Kekuatan undang-undang hanyalah pada hal-hal yang nyata dan zahir sahaja dan tidak sampai kepada yang batin dan tersembunyi. Undang-undang hanya mampu menghukum mereka yang bersalah tetapi tidak pula sampai menghargai orang-orang yang membuat kebaikan. Tambahan pula untuk menghindarkan diri dari hukuman itu mudah. Hanya dengan memutarbelitkan pengertian dan terjemahan mengikut kemahuan nafsu sudah cukup bagi yang pandai berhujjah. Apabila undang-undang manusia sudah tidak upaya untuk menghalangi kejahatan dan pelanggaran, tidak upaya mendorong manusia untuk melakukan kebaikan maka ia sudah tidak mampu lagi untuk mengawal kehidupan manusia di muka bumi ini. Maka berlakulah kebejatan demi kebejatan. Manusia di bumi menjadi tenat, kebingungan dan menantikan satu risalah yang dapat menyelamatkan mereka.
Satu ubat yang masih belum dicuba iaitu sistem Islam itu sendiri. Undang-undang sangat memerlukan kepada suatu kekuasaan yang dapat menahan dan membatasi seseorang dari melanggar undang-undang dengan adanya perasaan takut di dalam hati. Orang yang beriman akan mempercayai janji Allah s.w.t. di dalam al-Quran di dalam surah az-Zalzalah ayat 7-8 yang mafhumnya :
’Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, barang seberat zarah(atom), nanti akan dilihatnya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan barang seberat atom, nanti akan dilihatnya juga. ’
Begitu juga firman Allah s.w.t. di dalam surah an-Nazi’at ayat 35-41 yang mafhumnya:
’Di hari manusia kembali mengingati apa yang telah diusahakanya. Api neraka diperlihatkan dengan jelas kepada siapa yang melihatnya. Adapun orang yang melanggar batas dan memilih kehidupan dunia, sesungguhnya api neraka tempat diamnya. Adapun orang yang takut di hadapan kebesaran Tuhannya dan menahan nafsunya dari keinginan yang rendah, maka sesungguhnya surga tempat diamnya.’
Hanya kekuatan iman sahajalah yang akan dapat memelihara dan menggembalikan kehormatan undang-undang dan kesatuan masyarakat. Kita semua yakin bahawa hanya risalah Islam, sahajalah yang mampu menjadi penyelamat kepada seluruh manusia ini dan kitalah yang perlu menjadi pemegang obor yang membawa risalah ini.
Dengan penuh rasa yakin dan bangga sebagai seorang Muslim dan Mukmin, peranan ini dilakarkan dengan baik oleh Ustaz Hassan al-Banna yang menyentuh perkara ini di dalam penulisan ”Hala Tuju Dakwah Kita” seperti berikut:
’Peranan kita ialah memimpin dan membimbing dunia serta manusia agar semuanya tunduk di bawah sistem dan ajaran Islam yang menjadi satu-satunya jalan yang boleh membawa manusia ke arah kebahagiaan.’
Oleh itu, para perwakilan yang dirahmati Allah sekalian marilah kita mempersiapkan diri mengatur langkah, mengukuh barisan dan membina keupayaan untuk membawa risalah Islam ini dan seterusnya melakukan perubahan bagi menyelamatkan manusia sejagat.
Wanita JIM pada Era Tranformasi
Setelah diluluskan untuk bergerak sebagai sayap semasa Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas pada 28 Ogos 1993 di Kuala Berang, Terengganu Darul Iman, Wanita JIM terus mengorak langkah mengatur strategi membina struktur organisasi untuk terlibat dengan lebih berotonomi di dalam melaksanakan dakwah kepada masyarakat. Wanita JIM terus membina dan mengembangkan segala potensi yang ada di kalangan ahli-ahli nya untuk bergerak memimpin masyarakat.
Suatu perjuangan yang suci untuk meraih keredhaan Allah s.w.t. tentulah berhadapan dengan cabaran, kesukaran dan halangan. Komitmen tersebut pastinya akan diuji dengan tribulasi, mehnah dan ancaman. al--Quranul Karim memperingatkan kita melalui ayat ke-2 Surah al--Ankabut yang mafhumnya :
`Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan ` Kami telah beriman’, sedangkan mereka belum diuji?
Namun demikian segala cabaran dan halangan kita harungi dan lalui bersama. Sehingga kini, selama 17 tahun wanita JIM telah berada di persada masyarakat berganding bahu bersama ikhwah memikul tanggungjawab dakwah melakukan islah di bumi Malaysia tercinta ini. Di samping cabaran dan berbagai dugaan yang kita hadapi banyak juga kejayaan yang telah kita kecapi dengan izin Allah s.w.t.. Di bawah pimpinan Prof Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj, Wanita JIM telah berjaya membawa jenamanya tersendiri di dalam masyarakat dengan imej fundamental di sudut pegangan, kontemporari dan profesional dalam pendekatannya, Wanita JIM terus membina keupayaan memimpin pandangan masyarakat. Pandangan Wanita JIM sering menjadi rujukan pihak media massa khususnya di dalam isu-isu keruntuhan moral, permasalahan sosial, isu kekeluargaan dan hal-hal yang menyentuh kaum wanita keseluruhannya.
Dengan azam yang tinggi untuk menjadi jurubicara yang berwibawa dalam isu-isu berkaitan dengan wanita dan remaja, wanita JIM terus maju ke hadapan bukan sahaja lantang menyuarakan pendapat dan pandangan di pentas semata-mata tetapi juga membina institusi-institusi yang boleh membina ummah. Raudhatul Sakinah umpamanya adalah salah satu dari institusi yang dibangunkan oleh wanita JIM yang telah berupaya menjadi institusi rujukan ramai pihak masa kini. Bukan sedikit tenaga yang telah dikorbankan bagi membangunkan Raudhatus Sakinah. Saya percaya segala penat lelah, tidak kurang juga air mata yang mengalir dalam membangunkan institusi ini akan dibalasi Allah s.w.t. dengan ganjaran yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Melalui Institusi ini kita buktikan bagaimana Islam itu menjadi penyelamat kepada jiwa-jiwa yang tidak berdosa, bagaimana tarbiyah dan bimbingan mampu mengembalikan keinsafan dan kesedaran kepada remaja-remaja yang tersasar seketika di dalam perjalanan hidup mereka yang panjang untuk kembali ke pangkal jalan. Usaha-usaha gigih ini telah memberi lebih kredibiliti kepada Wanita JIM untuk berbicara mengenai isu permasalahan sosial di kalangan remaja dengan lebih yakin kerana kita buat apa yang kita katakan. Ianya juga telah menyerlahkan potensi kepimpinan di kalangan Wanita JIM dan melahirkan tokoh-tokoh yang mampu memimpin pandangan masyarakat di dalam sesuatu perkara itu.
Dengan menyokong misi JIM dalam membudayakan pendekatan perkongsian dan permuafakatan Wanita JIM sentiasa membuka ruang untuk semua wanita di negara ini, baik dari badan kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (women NGOs) untuk bertemu, berkomunikasi, bekerjasama, bermuafakat dan mencapai persefahaman untuk kebaikan wanita seluruh negara tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan sosio-politik atau ekonomi.
Pada tahun 2010 JIM dan Wanita JIM telah mengorak langkah membuat satu lagi keputusan besar dalam gerak kerja organisasi ini. Dengan amalan syura mulzimah, setelah melalui konsultasi yang ekstensif melalui muzakarah, mesyuarat dan seumpamanya kita telah mencapai kata sepakat untuk menjayakan kemunculan sebuah NGO baru iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia( IKRAM).
Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah diadakan pada hari Sabtu 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431 bagi menentukan perjalanan organisasi kita seterusnya. Perhimpunan ini telah bersetuju untuk menyokong dan menjayakan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan seterusnya mengambil langkah-langkah berikut:
1. Meminta semua ahli-ahli JIM untuk menganggotai IKRAM
2. JIM dan Wanita JIM meneruskan aktiviti:
a. melibatkan pihak luar, seperti gabungan dan usahasama di kalangan NGO (rujuk RJIM 2 U1N), sehingga IKRAM mengambil-alih peranan JIM sekarang dengan baik.
b. institusi-institusi termasuk sekolah, tadika, MGI (Majlis Guru Islah), PERINTIS, Hidayah Centre, Raudhatus Sakinah, PACE (Palestine Centre of Excellence), NICE (Nusantara Islah Centre of Excellence), KIMB, DERU, I-Bantu, PAKSI-JIM dan Karisma, sehingga proses perpindahan dapat dijayakan.
3. Menggerakkan aktiviti-aktiviti lain melalui IKRAM, termasuk
a. tarbiah ahli
b. aktiviti-aktiviti remaja
c. aktiviti-aktiviti belia
d. aktiviti-aktiviti di institusi pengajian tinggi
b. aktiviti-aktiviti remaja
c. aktiviti-aktiviti belia
d. aktiviti-aktiviti di institusi pengajian tinggi
4. Status akhir (final status) JIM dicadangkan akan ditentukan oleh JIM di dalam Perhimpunan Perwakilan Nasional 2010. Keputusan ini penting dalam menentukan status institusi dan aset JIM.
Bagi tujuan itu, PPN Khas ini telah memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat JIM untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengkaji pilihan sama ada:
a. JIM dikekalkan dengan peranan yang baru, atau
b. JIM dibubarkan.
b. JIM dibubarkan.
Kajian ini akan turut merangkumi aspek teknikal dan perundangan dan kajian ini adalah di antara perkara yang akan dibentangkan di dalam PPN kali ini.
Menjayakan Tranformasi
Para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian
Keputusan yang kita ambil ini perlu dilihat di dalam perspektif yang lebih menyeluruh. Kemunculan IKRAM boleh dilihat sebagai satu usaha pemantapan gagasan Islam bagi menggembleng tenaga dan potensi ahli-ahli JIM dan juga rakan-rakan kita di dalam konteks keluarga jemaah yang lebih besar. Mengambil kira susur galur sejarah pergerakkan dakwah kita, kemunculan IKRAM dan usaha JIM dalam menjayakan IKRAM ini boleh membawa kepada satu arus kebangkitan dan perubahan yang lebih menyeluruh dan membuka ruang-ruang penglibatan yang lebih banyak dan penggemblengan tenaga yang lebih optimum di kalangan para du’at bagi mencapai matlamat dakwah.
Matlamat akhir dakwah ini adalah penegakan syariah Allah di atas mukabumi, sebagaimana yang dinukilkan dalam Surah al-Jaathiiyah, ayat ke-18 yang mafhumnya:
`Kemudian Kami jadikan engkau (Muhammad) mengikuti dan menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama, maka turutilah syariat itu dan janganlah engkau mengikuti orang-orang yang tidak mengetahui.’
Masyarakat di luar sana sedang menantikan kebangkitan syariah yang bakal membawa kejayaan dan kesejahteraan untuk membebaskan mereka dari segala kepahitan yang mereka lalui selama ini. Yang dizalimi sedang menantikan keadilan, yang ditindas mengharapkan pembelaan, yang miskin mengharapkan bantuan dan yang tersasar mengharapkan obor cahaya yang dapat menyuluh mereka untuk kembali ke pangkal jalan.
Mereka sedang menanti natikan keadilan syariah yang bakal membela nasib dan masa depan keluarga dan generasi akan datang. Masih ramai di luar sana yang masih belum mendapat sentuhan dakwah kita. Usaha dakwah dan tenaga kerja dakwah tidak akan pernah cukup. Gerak kerja dakwah menuntut kepada keikhlasan dan pengorbanan yang tinggi. Oleh itu kita perlu menggabungkan segala kekuatan yang kita miliki, menyusun saff kita dengan rapi, mengatur guna tenaga dengan bijak dan mengenalpasti gerak langkah yang strategik bagi mencapai matlamat dakwah kita. Mudah-mudahan dengan penglibatan JIM dan WJIM dalam transformasi IKRAM ini ia akan berupaya memacu pelaksanaan Syariah di muka bumi Malaysia ini.
Dalam pembentangan ucapan dasar Ketua Wanita pada Perhimpunan Perwakilan Wanita National tahun lepas, Prof Madya Dr Harlina telah menyenaraikan cabaran dalaman bagi golongan duat yang saya rasa penting diulangi pada kali ini dan sangat relevan dalam kita menempuh era transformasi ini. Petikan bahagian ucapan dasar tersebut adalah seperti berikut:
’....kita tidak boleh sama sekali membiarkan satu lagi cabaran penting yang perlu dihadapi, iaitu halangan peribadi yang membelenggu diri para pendakwah itu sendiri. Saya terpanggil untuk memberikan penekanan kepada aspek ini, lantaran tidak sedikit di kalangan kita yang bergelar pendakwah ini, terpaksa berhadapan dengan permasalahan dalaman yang membuahkan natijah serta impak yang negatif kepada komitmen dakwah. Cabaran dalaman ini mestilah mampu didepani dengan baik, untuk memastikan cabaran luaran pula dapat dikendalikan dengan sejahtera. Dalam ucapan dasar ini, saya menggariskan empat cabaran dalaman yang mesti dihadapi oleh setiap du’at dalam rangka melonjakkan dakwah ke tahap yang maksima. :
1. Mengenal diri yang sebenar
2. Menguasai `ego’ manusia
3. Menjana keikhlasan dalam setiap tindakan
4. Menghias diri dengan akhlaq terpuji
2. Menguasai `ego’ manusia
3. Menjana keikhlasan dalam setiap tindakan
4. Menghias diri dengan akhlaq terpuji
UCAPAN DASAR KETUA WANITA (UDKW) 2009
`MEMACU ILTIZAM MENDEPANI CABARAN PENEGAKAN SYARIAH’
`MEMACU ILTIZAM MENDEPANI CABARAN PENEGAKAN SYARIAH’
Mari kita baca kembali dan fahami betul-betul apa yang telah dinukilkan oleh Prof Madya Dr Harlina terutamanya pada bahagian menguasai ego manusia. Kita jadikan kisah keegoaan iblis dan Nabi Adam AS sebagai iktibar. Jangan kita terperangkap dengan cabaran dalaman ini sehingga menyebabkan kita tertinggal gerabak dakwah ini. Saya percaya apabila kita boleh melihat matlamat yang ingin dicapai di dalam transformasi ini sebagai sesuatu yang lebih besar, maka cabaran lain yang perlu kita lalui akan menjadi kecil dan mudah diharungi.
Bergerak ke hadapan Membina dan Memantapkan Gagasan
Para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian.
Dalam tahun 2010 juga kita telah mengadakan muzakarah di tempat yang sama kita berkumpul pada pagi ini bagi menyemak semula RJIM 2 kita. Asas pendekatan yang kita ambil adalah untuk meningkatkan stature JIM (naik satu takuk, up-one-notch) untuk memudahkan penyerahan peranan kepada IKRAM. Dalam hubungan ini di bawah KRA 2.2 wanita adalah seperti berikut
Meningkatkan stature Wanita JIM pada mata umat dan masyarakat dengan:
1. Membentuk wacana wanita Islam
2. Menubuh gabungan NGO Wanita Islam (mengembangkan MIZAN atau gabungan baru)
Wanita JIM sememangnya lantang dalam menyuarakan pandangan bagi mengembalikan umat ini kepada syariah Islam. Wanita JIM juga telah banyak memainkan peranan dalam membentuk arus pemikiran masyarakat dalam isu-isu berkaitan wanita dan banyak terlibat di dalam forum-forum yang membicarakan hal-hal berkaitan wanita, namun suara lantang dari satu kelompok sahaja tidak cukup kuat untuk memberi impak kepada perubahan atau pun bagi mewakili golongan wanita Islam dalam mempertahankan hak-hak mereka menurut pandangan syarak.
Masih banyak lagi kes-kes penindasan, ketidakadilan dan kezaliman ke atas kaum wanita yang masih belum terbela menurut pendekatan syariah. Ini menyebabkan ia menjadi fokus pihak tertentu terutamnya yang mendokong gagasan feminisma, yang memperjuangkan isu ini bagi mencapai kesaksamaan gender menurut pandangan dan logik akal mereka semata-mata. Kesaksamaan yang diperjuangkan itu sehingga melampaui batasan agama dan bercanggah dengan hukum syarak. Gagasan ini juga sering mempertikaikan keadilan Islam itu dalam memartabatkan kaum wanita bagi perkara yang bertentangan dengan kesaksamaan gender menurut apa yang diperjuangkan mereka. Perjuangan mereka menentang sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum wanita yang mana diskriminasi itu didefinisikan sebagai apa juga keadaan yang meletakkan seseorang wanita itu dalam keadaan yang merugikan (disadvantage) termasuk dari perkara besar yang menyentuh hukum-hakam sehinggalah kepada perkara-perkara kecil yang menyentuh kehidupan harian seperti pengujudan koc keretapi berasingan untuk wanita. Mereka memperjuangkan hak mendahului tanggungjawab manakala di dalam Islam kita perlu menunaikan tanggungjawab terlebih dahulu sebelum memperoleh hak kita.
Yang lebih mengelirukan lagi adalah gagasan feminisme ini turut diperjuangkan oleh orang Islam sendiri. Andaikata wanita Islam pada hari ini tidak mempunyai kefahaman yang jelas yang membolehkan kita menilai sesuatu isu menurut nilai dan kayu ukur ajaran Islam yang hakiki maka fahaman gerakan femanisma ini akan terus mempengaruhi pemikiran anak-anak muda kita dan seterusnya menghakis kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap syariah Islam itu sendiri. Oleh itu pengujudan gagasan wanita yang mampu menangkis serangan pemikiran ini dan memaparkan jalan penyelesaiaan yang benar-benar mampu memartabatkan kedudukan wanita yang sejahtera merangkumi kehidupan dunia akhirat adalah amat perlu bagi menyelamatkan ummah.
Dalam hal ini Wanita JIM tidak boleh bergerak secara bersendirian. Ia memerlukan penggemblengan tenaga dan usaha dari sumber dalaman organisasi dan juga dari gerakan-gerakan wanita Islam di luar sana. Di dalam UDKW tahun 2008 yang bertajuk membangun Gagasan Wanita Pemangkin Perlaksanaan Syariah, Prof Madya Dr Harlina telah mengariskan 7 ciri-ciri umum yang perlu ada pada gagasan wanita yang sejahtera iaitu:
- prosyariah,
- prokeluarga,
- gabungan kepelbagaian,
- bertemakan ’Islam untuk semua’,
- berprinsipkan kebenaran, keadilan dan keseimbangan,
- berpengaruh dan disegani pihak lelaki dan
- diiktiraf di peringkat national dan antarabangsa.
- prokeluarga,
- gabungan kepelbagaian,
- bertemakan ’Islam untuk semua’,
- berprinsipkan kebenaran, keadilan dan keseimbangan,
- berpengaruh dan disegani pihak lelaki dan
- diiktiraf di peringkat national dan antarabangsa.
Berpandukan kepada UDKW 2008, Wanita JIM bergerak mengatur langkah berusaha membina gagasan wanita tersebut.
Wanita Islam perlu bergerak sebagai satu gagasan dalam menyuarakan isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum wanita Islam khususnya dan wanita-wanita lain amnya. Kita perlu bekerjasama dengan NGOs wanita Islam di dalam isu-isu yang melibatkan penegakkan syariah yang berkaitan dengan hak dan kedudukan wanita. Wanita Islam perlu dilihat bersatu dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat dalam isu yang dapat disepakati bersama. Gagasan wanita Islam ini bukan sahaja bertindak reaktif dalam memberi respons kepada isu yang dibangkitkan tetapi juga perlu bertindak proaktif dalam mengetengahkan isu.
Selaras dengan ketetapan mudzakarah di Darul Puteri pada awal tahun ini yang telah menyemak semula KRA 2.2 Wanita, Wanita JIM Pusat telah mula mengatur temujanji untuk membuat beberapa kunjungan hormat kepada pertubuhan-pertubuhan wanita Islam dan individu-individu tertentu untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan gerakan mereka serta menyatakan hasrat kita untuk mewujudkan muafakat dan bekerjasama di dalam isu-isu yang melibatkan masa depan wanita Muslim di negara ini.
Dengan izin Allah s.w.t. pada 27 November 2010 satu Majlis Silaturrahim yang dihadiri oleh ahli pertubuhan anggota ACCIN yang mempunyai sayap wanita termasuk Wanita JIM telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan pembentukan gabungan ini. Mesyuarat susulan telah diadakan pada 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharam 1432 yang merupakan satu tarikh yang amat bermakna di mana semua yang hadir bersepakat ke atas penubuhan gabungan gerakan wanita Islam yang dinamakan AMMIN iaitu al-liance of Malaysian Muslimah Interactive Networks. Wanita JIM menaruh harapan yang tinggi agar penubuhan gabungan ini dapat memenuhi hasrat kita untuk melahirkan satu gabungan yang boleh memartabatkan kedudukan wanita berlandaskan syariah. AMMIN diwujudkan sebagai wadah induk dan suara bersama kita dan akan menjalankan kerja-kerja yang selain dari yang sedang diusahakan oleh NGO-NGO yang sedia ada. AMMIN juga akan menjadi badan penyelaras, membantu NGO-NGOnya bekerjasama apabila perlu berbuat begitu.
Saya kira ini adalah merupakan satu pencapaian wanita JIM Pusat selaras dengan KPI yang telah ditetapkan. Diperingkat negeri juga saya ingin menyeru Wanita JIM negeri berusaha mewujudkan gabungan pergerakan wanita Islam bagi mencapai malamat yang sama. Saya dapati usaha-usaha ini telah dimulakan oleh Wanita JIM Pulau Pinang dan Wanita JIM Wilayah Persekutuan. Saya juga ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Wanita JIM Pulau Pinang yang sebenarnya telah mula mengorak langkah berinteraksi dengan wanita bukan Islam. Usaha sebegini penting sebagai langkah untuk menghilangkan Islamifobia di kalangan bukan Islam. Di dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini, kita perlukan sokongan masyarakat bukan Islam untuk menjayakan agenda kebangkitan syariah. Mereka perlu difahamkan keadilan dan pembelaan dalam pelaksanaan syariah agar mereka tidak menjadi penentang kemudiannya dan lebih baik lagi mudah-mudahan mereka diberi petunjuk dan hidayah untuk menerima Islam.
Pada tahun 2009 Wanita JIM telah menubuhkan satu gagasan bernama MIZAN yang terdiri dari beberapa NGO wanita Islam. Mungkin para perwakilan tertanya-tanya apa yang akan berlaku pada MIZAN dengan tertubuhnya AMMIN pula. Ingin saya jelaskan di sini bahawa MIZAN masih wujud dan akan memberi fokus kepada isu pro keluarga. JKPW melihat bahawa MIZAN masih boleh terus kekal dengan penubuhan AMMIN dan peranan yang dimainkan boleh lengkap melengkapi serta memperkukuh antara satu sama lain.
Sikap Kita dalam Memimpin dan Memacu Pelaksanaan Syariah
Dalam memantapkan gagasan wanita Islam ini, kita hendaklah banyak bersikap berlapang dada, membentuk pemikiran yang terbuka dan berakhlak dengan akhlak mulia. Seringkali untuk sampai ke satu permuafakatan di kalangan kelompok Islam adalah lebih mencabar berbanding dengan bekerjasama dengan kelompok yang lain. Kita tidak boleh ta’sub kepada pandangan individu tertentu sahaja, kagum dengan pandangan peribadi atau kelompok kita semata-mata, buruk sangka kepada golongan lain dan asobiyyah kepada pemimpin dan jamaah kita secara keterlaluan. Sebagai sebahagian dari ahli gagasan kita hendaklah berperanan sebaik mungkin bagi menjayakan matlamat penubuhannya. Kita perlu membina keyakinan yang kuat dan ikhlas terhadap gagasan yang didokong. Proses pentarbiyahan yang kita lalui selama ini sepatutnya membantu memudahkan kita.
Sebagai perwakilan dan pimpinan di peringkat Pusat, Negeri & Daerah, sudah tiba masanya kita berusaha, belajar melihat lebih jauh lagi wawasan (The Big Picture) yang ingin dicapai, menjangkaui mata kasar rakyat/ahli biasa serta melepasi sasaran operasional harian. Namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan tugasan dan aktivisme harian yang mesti dilakukan. Kita mesti mempunyai keyakinan terhadap kecemerlangan sebenar yang kekal. Kita mesti yakin terlebih dahulu akan keindahan syariah itu sendiri dan kebaikan yang dibawa terhadap manusia dan alam secara keseluruhannya. Kita mesti meyakini bahwa selain dari kecemerlangan yang kita impikan di dunia ini, yang bersifat sementara, kita sebenarnya berusaha untuk mencapai kecemerlangan hakiki yang berkekalan d akhirat. Pengajaran boleh kita ambil dari Qarun yang mana kekayaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepadanya membolehkan beliau berjaya dan kaya raya di dunia. Namun, tiada nilainya di sisi Allah s.w.t.. Apa yang kita perlukan adalah nilai dan kualiti individu yang melihat di kepada kecemerlangan hakiki yang dinantikan di sisi Allah s.w.t., yakni redha dan syurga Allah s.w.t. kepada kita di hari akhirat kelak. Dalam hal ini, Allah s.w.t. merakamkan di dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang mafhumnya
“Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (ghurur)”
Seterusnya, kita diingatkan lagi dari surah asy-Syura, ayat 36:
“Maka sesuatu apa yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia, dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhan mereka."
Semoga keyakinan ini akan menjadi bekalan kepada kita untuk berhadapan dengan cabaran dan dugaan, seterusnya memberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan melihat apa yang kekal di sisi Allah s.w.t..
Sebagai agen pemacu syariah yang berhasrat memimpin barisan umat kita mestilah mempunyai mindset dan kualiti kepimpinan yang diperlukan apabila berhadapan dengan pelbagai pihak. Kepimpinan tidak terletak kepada kedudukan mahupun pangkat yang disandang seseorang. Ianya merupakan kepunyaan semua orang di semua peringkat mengikut keadaan dan pengaruh masing-masing. Kepimpinan adalah mengenai perhubungan sesama manusia (interpersonal relationship), kredibiliti kita, sifat-sifat ketelusan kita dan kecintaan kita terhadap halatuju yang kita perjuangkan secara ikhlas. Kepimpinan juga memerlukan ketegasan kita di dalam mempertahankan yang haq dan prinsip. Pemimpin perlu boleh menjadi sumber inspirasi, melakukan apa yang dikatakan dan menunjukkan contoh yang praktikal terhadap insan di sekelilingnya. Kepimpinan hendaklah terbuka kepada inovasi dan perubahan selagi ia di dalam lingkungan syara’. Pemimpin perlu boleh merendah diri dan menghormati perasaan dan pandangan orang lain, dalam masa yang sama dapat menjelaskan halatuju dan kecantikan mesej yang ingin kita bawa.
Kepimpinan juga adalah mengenai kerjasama dan pakatan strategik dan operasional kerana tidak semua orang mampu untuk melakukan semua perkara. Kepimpinan juga adalah mengenai tawaduk’ yang bertempat dan tidak mengandaikan, sentiasa terbuka dan bersedia untuk mendengar sesuatu pandangan/ide yang baru dan berinovatif. Dengan bersifat tawaduk – ‘The best leaders are the best learners too” .
Kepimpinan juga adalah mereka yang mesti sentiasa bersikap positif dan yakin, boleh memberikan harapan walaupun di dalam keadaan yang rumit. Kepimpinan juga bermakna mengambil tanggungjawab di atas segala kesilapan dan kekurangan namun dalam masa yang sama bersedia untuk mempelajari dari kesilapan tersebut kerana pemimpin juga adalah manusia biasa. Kepimpinan yang istiqamah pula adalah mereka yang sudahpun yakin dan sebati dengan halatuju dan prinsip perjuangan jamaah ini dan hasilan yang ingin dicapai. Mereka sudahpun ‘jatuh cinta’ dengan perjuangan dan halatuju organisasi mereka. Ini menatijahkan seorang yang mempunyai lonjakan semangat, kekuatan dan azam yang luar biasa untuk mencapai sesuatu yang luar biasa jua. Kepimpinan adalah mengenai diri kita dan bagaimana kita melihat potensi dan kekuatan di dalam diri kita sendiri!
Amanah adalah nilai yang paling tinggi yang dituntut di dalam kepimpinan. Amat menarik perhatian kita apabila survey yang dilakukan oleh James Kouzes & Barry Postner melalui penulisan mereka “The Leadership Challenge” terhadap hasil survey peringkat antarabangsa di enam benua pada tahun-tahun 1987, 1995 & 2002 mengenai sifat-sifat CEO yang di cari/diidamkan di mana sifat “JUJUR” kekal di tangga teratas berbanding dengan 19 sifat yang lain. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Ahzab, ayat 72, bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan berasa berat dengannya, sebaliknya ia dipikul oleh insan. Sesungguhnya, mereka amat zalim lagi jahil.”
Seluruh aspek kehidupan ini adalah amanah dan sememangnya amanah dituntut di dalam setiap perkara. Ubaiyy ibn Kaab pernah berkata, “Amanah dituntut dalam setiap perkara termasuk wudu’, solat, zakat, mandi wajib, puasa, timbangan dan takaran dalam perniagaan”. Maka sifat amanah atau jujur menentukan sama ada individu itu mempunyai kredibiliti ataupun sebaliknya.
Andaikata kita memiliki apa yang dikatakan di atas nescaya kita mampu untuk menjadi pemimpin kepada ummah ini di dalam pelbagai bidang dan aspek yang kita ceburi, bagi memacu pelaksanaan syariah dari sudut mana jua kita berada.
Bingkisan Buat Orang Muda dan Para Ikhwah
Tidak lengkap rasanya ucapan dasar ini kiranya saya tidak menyentuh sedikit mengenai dua golongan yang berganding bahu melaksanakan amanah dakwah ini bersama Wanita JIM iaitu para ikhwah dan anak-anak muda. Setelah begitu lama Wanita JIM berada di persada masyarakat peringkat lokal dan persada antarabangsa, izinkan saya terus menerus mengingati dan meninggalkan beberapa pesanan-pesanan penting kerana juzuk ini merupakan sempadan yang amat penting buat seorang wanita di dalam perjalanan hidup dan perjuangan mereka.
Kepada para suami, bapa dan ikhwah seperjuangan yang menemani akhawat-akhawat mereka, terima kasih tiada terhingga diucapkan di atas keredhaan mu mengizinkan kami para akhawat mu aktif di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Mukminah. Bukankah kita saling tolong menolong di antara satu sama lain untuk melaksanakan kebaikan dan menghindar kemungkaran.
Namun demikian, izinkan saya selaku wakil kepada semua ahli wanita JIM untuk melakarkan harapan-harapan kami sekadar memperingatkan di antara kita semua akan jalan hidup yang telah kita pilih ini untuk menyeru manusia di jalan Allah.
Berbuat baiklah pada isterimu. Ketika Saiyyidina Ali Abi Talib k.r.w. meminang Saiyyidina fatimah r.a., puteri Ar-rasul s.a.w., maka Rasul s.a.w. bersabda kepada Saiyyidina Ali: “Dia untukmu, hendaklah engkau berbuat baik dalam mempergaulinya. (At-Tabarani - Hadis Sahih)
Ingatlah bahawa akhlak kita dicerminkan dengan urusan kita terhadap si isteri.Di antara akhlak terpuji seorang suami adalah yang menggauli isterinya dengan baik. Rasul s.a.w. mengajar para suami seperti berikut:
“Orang-orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Tirmizi & Abu Dawud dari Abu Hurairah - hadis Hasan Sahih)
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isteri. Dan aku adalah sebaik-sebaik orang di antara kamu terhadap isteri.” (HR Tabrani & Tirmizi – hadis Sahih) Maka kesaksian ar-Rasul s.a.w. lagi terhadap suami soleh yang berlandaskan kepada iman dan takwa dirakamkan di dalam satu lagi hadis seperti berikut:
“Tidaklah pernah memuliakan wanita kecuali orang yang berakhlak mulia. Dan tidaklah pernah menghina wanita kecuali orang yang keji perbuatannya.” (Hadis riwayat Ibnu Asakir)
Restu dan redha kalian kami pohon untuk terus menelusuri jalan hidup yang singkat ini bagi mengutip bekalan-bekalan akhirat melalui amalan-amalan berganda di dalam perjuangan ini.
Bagi anak-anak muda, ingin saya ingatkan bahawa kalian adalah tulang belakang yang akan mendokong kebangkitan ummah ini membawa obor syariah. Persiapkan diri kalian dengan kekuatan iman dari hati yang bersih, keikhlasan dari jiwa yang suci, semangat yang kental dari keazaman yang membara dan akhlak yang mulia dari akhlak islami. Perjalanan kalian masih panjang dijalan yang penuh dengan onak dan duri. Binalah kekuatan untuk mengharunginya. Kenalpastilah kepentingan hidup kalian mengikut keutamaan yang betul berdasarklan matlamat hidup dan dakwah yang jelas. Jangan mudah terperangkap dengan keuntungan jangkamasa pendek sehingga menggadaikan masa depan. Wahai anak muda, kalian adalah harapan menjadi generasi penerus perjuangan menyambung agenda membawa umat ke arah matlamat kebahagiaan hakiki, yakni mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Jadilah diri-diri kamu seperti pemuda Kahfi seperti yang digambarkan oleh al-Quran di dalam surah al-Kahfi ayat 13:
”Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
Penutup
Pelaksanaan syariah memerlukan kepada pengembelingan tenaga dan usaha yang bersepadu dan berterusan dari para du’at yang yakin akan kejayaannya. Ianya memerlukan semangat juang yang tinggi, du’at yang berjiwa besar dan sanggup berkorban bagi menjayakannya. Usaha ini memerlukan kita menyediakan diri dengan membina kekuatan dalaman, meraikan pelbagai kekuatan yang ada dan pada masa yang sama mengikis sifat-sifat negatif yang merugikan dan membina keyakinan di samping berharap akan pertolongan Allah s.w.t.. Persiapan-persiapan ini perlu seperti mana yang di firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang mafhumnya: ”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.”
Kita ingat akan amaran Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 24 yang mafhumnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, & anak-anak kamu, & saudara-saudara kamu, & isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, & kaum keluarga kamu, & harta benda yang kamu usahakan, & perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, & rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah & Rasul-Nya & (drpd) berjihad utk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) “
Seterusnya berbekalkan keyakinan akan janji dan pertolongan Allah s.w.t. di dalam surah al-Haj ayat 40-41 yang mafhumnya
“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam);sesungguhnya Allah maha Kuat, lagi Maha Kuasa; - iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberikan zakat, & mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan & perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Perjuangan ini kita teruskan!
Semoga kita tergolong di dalam golongan yang terus dipilih oleh Allah s.w.t. untuk berada dan intiqamah di jalan Allah sehingga ke akhir hayat. Amin ya Rabbal alamin.
”Cukuplah Allah bagiku: tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki arasy yang agung.”
Kg Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang Selangor
14 Disember 2010 bersamaan 8 Muharam 1432
14 Disember 2010 bersamaan 8 Muharam 1432
sumber : Laman Web JIM
No comments:
Post a Comment