Monday, May 17, 2010

MUB-5 : SMK Setapak Indah

MUB-button.jpg

assalamulaikum wrt.

alhamdulillah, pada 15 Mei 2010 yang lalu, Pihak JKPR JIM Pusat dengan kerjasama Team KRJ KL telah pun berjaya mengadakan program Meniti Usia Baligh ( MUB) yang ke 5 sejak ia mula diperkenalkan kepada negara Malaysia pada penghujung tahun yang lalu. Seramai 170 orang peserta telah bersama di dalam program ini. Program MUB yang ke 5 ini telah diadakan bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Sunday, May 16, 2010

[Utusan] Wanita perlu segera kenal pasti punca jika tertekan

KUALA LUMPUR 13 Mei - Wanita Islam disaran segera mengenal pasti punca yang menyebabkan perasaan mereka tertekan sehingga gagal untuk mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan juga kerjaya.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Dr. Niekmah Adam berkata, jika perasaan tertekan terus dibiarkan, ia akan membuatkan seseorang wanita tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

''Tekanan ini juga akan memberi kesan yang ketara terhadap ahli keluarga khususnya anak-anak sehingga boleh menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak dan juga gejala sosial,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita (Puspanita) Jawi dan Wanita JIM di Dewan Hadhari, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Penghinaan terhadap semua agama - Zaid

a 

KUALA LUMPUR - Pengumuman kelulusan lesen pertaruhan bola sepak kepada kumpulan Berjaya oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan penghinaan terhadap semua agama di negara ini, demikian kata Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin. 

"Tiada agama di dunia ini yang mengatakan judi itu membawa kebaikan. Dari sudut mana, sama ada sosial atau agama, yang menunjukkan adanya manfaat daripada perjudian?" beliau bertanya. 

Kelmarin, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi kelulusan lesen pertaruhan bola sepak semasa berlangsungnya temasya Piala Dunia bulan depan. Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein memberitahu bahawa kerajaan bersetuju mempertimbangkan secara serius cadangan meluluskan lesen judi pertaruhan sukan bagi mengelakkan perjudian haram yang dikatakan berleluasa di negara ini. 

Wednesday, May 12, 2010

WACANA WANITA, KELUARGA DAN KERJAYA

Mengurus Keseimbangan, Utamakan Keluarga

Pada:
13 Mei 2010 (Khamis)

Pukul:
8.30-1.00 tengah hari

Tempat:
Dewan Hadhari, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur

Anjuran:
JAWI dan Wanita JIM

Objektif
1.      Memahami dan dapat melaksanakan tuntutan syarak berhubung keperluan dan kedudukan wanita untuk keluar bekerja dengan batas-batas serta keutamaan yang telah ditetapkan

2.      Mengenal pasti cabaran-cabaran mendesak yang dihadapi oleh generasi muda yang baru menyertai alam pekerjaan

3.      Membincangkan saranan dan bentuk sokongan, sistem bekerja yang sesuai dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong penglibatan wanita di luar rumah bagi mencapai keseimbangan kerjaya dan keluarga.

Atur cara Program
Masa
Tentatif
8.30 pagi
Ketibaan & Pendaftaran
9.00 pagi
Ucaptama dan perasmian oleh: YBhg To’ Puan Hjh Rakiah Mariana Latiff (Pengerusi PUSPANITA JAWI)
“Wanita Dwi Kerjaya Mengurus Keseimbangan Utamakan Keluarga”
9.45 pagi
Kudapan  & Sidang Media
10.15 pagi
Pembentangan (1)
“Wanita dan kerjaya Menurut Pandangan Syarak”
oleh YBhg Prof Madya Ustazah Anisah Abdul Ghani
11.15 pagi
Sesi Soal Jawab
11.30 pagi
Pembentangan (2).
“ Keseimbangan Kerjaya dan Keluarga: Antara Harapan Dan Cabaran” oleh Ybhg Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, Naib Presiden JIM Pusat
12.30 tengahari
Sesi Soal jawab
1.00 tengahari
Majlis penutup dan doa
1.15 tengahari
Makan tengahari & Bersurai
  
Hubungi
Puan Faridah
019-6022624 atau 03-41073379 atau wanitajim93@yahoo.com

Friday, May 7, 2010

Tuesday, May 4, 2010

MEMPERINGATI ULANGTAHUN NAKBAH KE 62

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang.  Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan.   Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia. 

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
Palestine Centre of Excellence

Monday, May 3, 2010