Dalam membicarakan tentang Mukasyafah yang di kurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih lantaran usahanya yang sungguh-sunnguh dengan itiiba sunnah Rasulllah saw, Imam Ibn Qayyim al Jauzi didalam penulisan beliau yang dipaparkan didalam kitab Madarijus Salikin ada mengomentar beberapa jenis HIJAB yang menutup hati-hati hamba.
Hijab/ Tutupan itu bagi para mukmin yang dinamakan Al Ghaim akan memalingkan al akh/ukht tersebut semacam ada yang “tersekat “didalam Pendakian beliau menuju Allah dalam jihad yang dilalui atau dalam usaha beliau menzahirkan Ubudiyah dalam segenap relung kehidupannya. Mari sama –sama kita selongkar apa yang ditulis oleh Imam ini sebagai landasan iktibar dan tazkirah buat minggu ini. Pak Syed tidak bermaksud ingin mengulas kata-kata Imam Ibn Qayyim al Jauzi ini. Cuma setakat menyatakan noktah-noktah tersebut sebagai perkongsian minggu ini. Kalau adapun komentar singkat menambah kefahaman.
Hijab yang pertama adalah hijab peniadaan dan penafian hakikat asma wa sifat Allah. Ini merupakan hijab yang paling tebal – kata Imam. Orang yang memiliki hijab ini seolah-olah insan yang “tidak mempunyai kesiapan” untuk bermarifat kepada Allah swt dan sama sekali “TIDAK AKAN” sampai kepada Allah sebagaimana batu yang tidak mungkin naik keatas dengan sendirinya.
Hijab yang kedua adalah hijab syirik pada Allah iaitu sifat menyembah kepada selain Allah. Penyembahan ini bukan berbentuk zahiri macam kaum mushrikin itu. Tetapi disamping mengaku sebagai muslim-mukmin, ada lagi yang lebih utama dalam erti pengagungan, ketergantungan rezeki, ketergantungan harapan, ketundukan selain Allah. Ini syirik yang paling besar yang banyak muslim tertipu dengannya dan maka Allah kurniakan dia HIJAB selagimana dia tidak merubah sikapnya dan membersihkan dirinya dari perkara-perkara tadi.
Hijab yang ketiga adalah peyimpangan dalam Ibadah atau Hijab Bidaah yang bersifat perkataan seperti hijab orang-orang yang mengikuti hawa nafsu dan berbagai macam perkataan yang batil lagi rusak.
Hijab yang keempat adalah hijab bidaah ILMIAH / FIKRIYAH seperti hijab para ahli tariqat yang melalkukan bidaah dalam perjalanannya kepada Allah.
Hijab yang seterusnya ini sangat menarik dibicarakan kerana pada Imam Ibn Qayyim perkara yang berbentuk maknawi ini LEBIH BAHAYA dan LEBIH MEMUSNAHKAN dari perkara yang sama yang berbentu zahiri. Perkara tersebut adalah dosa besar secara batin yang yang dilakukan oleh seseorang mukmin itu yang membawa kepada HIJAB antaranya dan jalan Pendakian pada Allah itu. Ia itu hijab orang-orang yang takabur, ujub, riya, dengki, membangakan diri, ambisi pimpinan yang sungguh memusnahkan keperibadian seseorang akh/ukht itu walapun beliau pada zahirnya telah berada dipuncak kepimpinan organisasi atau masyarakat yang diwakilinya. Imam menyebut “ sekalipun perjalanan itu sudah sampai ke hati namun tidak mendapatkan jendela untuk melihat Allah bahkan didalamnya bersemayam nafsu dan pasukannya, sekalipun dia orang yang zuhud dan banyak beribadah tetapi sebenarnya dia adalah insan yang jauh dari Allah. Bahkan mereka yang melakukan dosa besar secara zahiri , hatinya mampu lebih dekat dengan Allah daripada mukmin tadi”..Pelik ya Imam berbicara begini.
Contoh yang diberikan oleh Imam Ibn Qayyim adalah ahli ibadah dan zuhud dizaman Nabi saw dan para sahabah . yang dahinya ternampak bekas sujud, tetapi kerana amalnya yang melewati batas dan dosa-dosa besar maknawi inilah maka mereka-mereka inilah yang membunuh para sahabah yang ulung dizaman itu. Disisi lain bagi mereka yang membuat dosa besar zahiri, disebutkan sebagaimana kaki peminum arak ia itu Dzul Khuswashiriyah at Tamimy yang akhirnya dengan sukarela datang berjumpa Rasulullah saw untuk dihukum. Kerana iman, keyakinan dan kecintaannya kepada Allah serta Rasulnya, dia rela menerima hukuman yang setimpal dengan dosa-dosanya maka Rasulullah saw menerimanya dan menjalankan hukuman tersebut tetapi baginda melarang orang ramai memaki hamba tersebut yang datang secara sukarela dan ikhlas bertaubat didepan Allah. Imam menyebut orang macam ini lebih kurang bahayanya berbanding dengan mereka yang membuat Dosa-Dosa besar maknawi..subhanallah!.
Hijab yang seterusnya adalah mereka yang melakukan dosa besar secara zahiri.Dosa besar secara zahir lebih dekat kepada taubah daripada dosa besar secara bathin. Orang yang melakukan dosa besar secara zahir lebih mampu diselamatkan dan hatinya lebih baik daripada orang yang melakukan dosa besar secara maknawi-batin ini..kata Imam Ibn Qayyim Al Jauzi. Semuga kita mengambil iktibar dalam tarbiyah kita ..amin.
Hijab yang ketujuh adalah hijab mereka yang melakukan dosa-dosa kecil yang jika berterusan dilakukan boleh menjadi dosa-dosa besar. Juga dosa kecil ini sifatnya dia boleh merebak kepada melakukan dosa-dosa lain kalau tidak segera dicegah dan dibersihkan-eskalasi dosa-dosa lain.
Hijab yang ke lapan adalah hijab mereka yang berlebih-lebih dalam perkara yang diharuskan seperti makan minum, bersuka dan bergurau dan sebagainya.
Hijab yang kesembilan adalah mereka yang lalai melakukan tujuan penciptaannya dan yang dikehendaki dari dirinya iatu tidak sentiasa dalam keadaan berzikir, bershukur dan sentiasa didalam kondisi ibadah pada Allah.
Yang terakhir disebut Imam adalah hijab orang-orang yang berijtihad namum menyimpang dari tujuan.
Inilah sepuluh (10) hijab yang MENDINDING antara hati mukmin itu dari Allah yang menjadi penghalang kepada jalan menuju Allah yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qayyim al Jauzi didalam penulisan pendeknya didalam kitab Madarijus Salikin.
Imam Ibn Qayyim juga menambah hijab-hijab itu muncul dari empat (4) unsur ia itu Jiwa, Shaitan, Dunia dan Nafsu. Imam juga menyebut hijab-hijab itu tidak mungkin disingkirkan jika unsur-unsur tadi masih bermaharaja-lela dalam diri mukmin tersebut. Empat unsur inilah yang merusak perkataan, perbuatan, tujuan dan jalan pendakian seseorang mukmin itu kepada Allah…mengenali Allah, mencintaiNya, bercakap-cakap denganNya dalam perjalanan itu. Seolah-olah walapun jalan pendakian itu telah jelas, tetapi didalam perjalanan itu banyak perompak-perompak yang akan menghalang mereka untuk sampai kedestinasi maqam yang Allah janjikan pada hamba-hambanya. Empat unsur tadilah perompak-perompak besar yang menghalang hati/jiwa hamba itu.
Kata akhir Imam Ibn Qayyim “ Jika dia mampu memerangi perompak-perompak itu dan amalnya mampu sampai ke hati, maka ia akan menetap dihati lalu dari hati ini dia akan mendapatkan jendela-jendela untuk dapat “melihat Allah “…satu kalimah yang penuh bermakna bagi kita yang telahpun memulakan pendakian ini melalui jihad dan tarbiyah yang kita terus lalui ini yang sudah sekian lama ini.
Semuga tazkirah ringkas ini memberikan kita menefaat dalam usaha madarijus salikin – pendakian menuju Allah dalam meniti dan menzahiran janji kita “IYA KANAK BUDU WA IYA KANAS TAIN”.
Dan sesungguhnya tidak ada yang kita miliki ini sebenarnya milik kita. Semuanya milik Allah jua. Kita datang kosong - kita akan kembali kosong cuma kita membawa pahala-dosa. Kita bepesan-pesan dengan nasyid nyanyian allahyarham sahabat ana ini akh Asri dari Rabbani..http://www.youtube. com/watch?v=nz5lfZKo-Ck& feature=related
Semuga Allah membuka pintu-pintu itu buat kita..amin ya Rabb.
Pak Syed.
JIM Daerah Hulu Langat
No comments:
Post a Comment