KENYATAAN MEDIA
PELANCARAN PROGRAM QURBAN AQIQAH 1431H
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
6 Oktober 2010 / 27 Syawal 1431H
Kita telah pun selesai melalui bulan Ramadhan, bulan ibadah dan tarbiyah. Segenap ruang dan peluang kita cari untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tidak lama lagi bulan Zulhijjah akan tiba. Bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah, kita doakn semoga amalan-amalan mereka diterima Allah SWT dan mendapat haji mabrur. Bagi yang tidak berkesempatan ke sana, kita juga masih berpeluang untuk beramal pada Eidul Adha ini. Sabda Rasulullah SAW, ” Tidak ada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada Bani Adam a.s ketika Hari Raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan qurban”.
Alhamdulillah, tahun ini merupakan kali ke-12 Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menganjurkan program qurban dan aqiqah ini. InsyaAllah tahun ini JIM akan menganjurkannya di 14 buah negara iaitu Palestin, Pakistan, Mindanao, Selatan Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Bangladesh, Iraq dan beberapa institusi-institusi yang dikenalpasti di Malaysia. Dengan bertemakan ibadah quran ditempat yang lebih memerlukan, JIM ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama-sama kami dalam program ini.
Tumpuan agihan qurban ini ialah kepada umat Islam yang lebih memerlukannya seperti mereka yang tertindas, ditimpa bencana, fakir miskin dan yang berjuang di jalan Allah. Keunikan program qurban dan aqiqah ini ialah ia dilaksanakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan dan bukanlah berasaskan keuntungan.