Pagi ini aku sempat membaca berita dari sebuah akhbar tempatan yang menceritakan kisah seorang remaja tingkatan dua telah merogol teman sekelasnya. Pedihnya hati ini ketika membaca kisah tersebut. Dia masih muda, tapi mengapa jalan hitam itu yang dipilihnya?
Rasa tersayat hati ini. Minda ini bagaikan terbeban dengan semua ini. Walaupun ini bukanlah kali pertama membaca kisah-kisah hitam dan zalim seumpama ini, ia sama sekali tidak layak dibariskan sebagai satu kebiasaan. Ia satu dosa. Ia satu keruntuhan nilai-nilai murni. Ia adalah kisah hitam!
Lalu aku dapatkan secawan kopi yang aromanya memang menggoda. Tika menikmati kopi yang hitam itu aku memikirkan debu-debu hitam yang sedang mencemarkan nilai-nilai murni remaja hari ini. Bukan sesuatu yang asing apabila jenayah dan remaja hari ini digandingkan. Hampir setiap hari ada sahaja kes-kes hitam melibatkan remaja dan belia.
Sebenarnya aku benci dengan gandingan itu. Bagaimana mungkin bakal pemimpin masa depan boleh berjalan seiringan dengan rogol, dadah, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, ragut, curi, lepak dan banyak lagi.
Aku cuba melapangkan minda ketika menikmati secawan kopi bersama sahabat. Kopi kuhirup sambil tersenyum sebab aku yakin senyum pengubat hatiku yang kesedihan. Namun kopi yang kuhirup terasa pahit walaupun gula yang secukupnya telah ditambah. Mungkin aku tidak patut minum kopi sebab ramai sekali yang menyatakan dalam kopi ada kandungan kafein yang ada ketikanya boleh memudaratkan kesihatan. Namun bukan kisah kafein yang menyentuh hatiku dan menjadi isu yang ingin aku fikirkan ketika ini...
Kopi yang pahit itu mengetuk hatiku untuk merasa serta menyentuh mindaku untuk berfikir tentang pahit manis kehidupan.
Memang tidak dinafikan hidup adalah satu pelayaran buat seorang hamba Tuhan menuju ke negeri yang abadi... tempat abadi yang kekal, ada yang indah lagi menyenangkan. Itulah syurga ciptaan Ilahi yang tidak tergambar keindahannya namun sentiasa menjadi impian dan harapan semua makhluk. Tidak kira siapa, mereka mahukan syurga.
Namun makhluk Tuhan yang mampu membezakan yang benar atau salah, yang pahit atau manis, yang baik atau jahat, yang buruk atau cantik, akan segera memahami dan menyedari, di sebelah dunia abadi yang indah itu ada dunia abadi yang buruk lagi menakutkan. Di dalamnya api yang membakar, air yang menggelegak, makanan dari buah-buahan berduri serta minuman daripada darah dan nanah. Itulah neraka, satu ciptaan yang sifatnya berlawanan dengan sifat sebuah syurga.
Bacalah dengan nama Tuhanmu. Bacalah al-Quran. Ikutilah sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Di sana ada penceritaan tentang syurga dan neraka. Al-Quran dan as-sunnah bagai bintang penyuluh pada malam hari, bersinar bak mentari pada kala siang menjelang. Ia bagai rumah api, memberi petunjuk kepada kapal yang berlayar di tengah lautan luas. Pendek kata, al-Quran dan as-sunnah adalah pedoman untuk insan yang berlayar menuju ke negeri yang abadi.
Jangan biarkan pahit kehidupan memusnahkan seluruh perjuangan. Jangan juga mencemarkan seluruh kebaikan dengan noda-noda hitam dosa dan kejahatan hanya kerana kita bangga sebagai manusia.
Hidup di dunia, baik yang putih atau hitam sememangnya ketentuan Tuhan! Namun Tuhan tidak akan mengubah nasib seorang manusia itu jika manusia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.
Kita boleh menentukan rasa kopi. Jika ingin yang pekat, cair, manis atau masin. Kita boleh menentukan jenis dan kualiti kopi yang menjadi pilihan. Kita juga boleh menentukan untuk minum secawan kopi atau hanya segelas air putih. Setelah berusaha dan memilih, kembalikan penyelesaiannya kepada Allah.
Tanpa izin Allah, seorang insan boleh hilang seleranya untuk minum secawan kopi buat selama-lamanya.
Dengan kehendak Allah juga segelas air putih boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diperoleh oleh seorang hamba Tuhan di sebuah negara yang mengalami kemarau yang panjang.
Kesimpulan yang ingin dikongsikan di sini ialah, untuk setiap manusia, baik remaja, belia atau dewasa, Tuhan memberikan ruang untuk memilih. Kita boleh memilih yang hitam atau putih, yang baik atau jahat. Setelah memilih, berusahalah di atas jalan kebaikan yang kita pilih. Selepas itu berserahlah kepada Allah.
Jangan katakan, memilih kejahatan itu adalah satu takdir sebelum kita berusaha melakukan kebaikan. Setelah berusaha bertawakallah kerana bukan sedikit manusia jahat menjadi baik kerana keinginannya untuk berubah. Tidak sedikit pula manusia baik menjadi jahat apabila diri mula riak, sombong dan berasa cukup dengan kebaikan yang dilakukan, padahal iman kita sentiasa ada turun naiknya... manakala syaitan tidak pernah penat dan berputus asa!
Sumber : MalaysiaHarmoni
No comments:
Post a Comment