Tuesday, June 8, 2010

“Hantar hero/heroin ke Gaza!” - Lukis Kartun Bersama Abe

PostDateIcon June 9th, 2010 | PostAuthorIcon Author: wmzukri |
lukis-kartun3


Pejabat JIM Batu, 8 Jun 2010 - Program “Jom Belajar Lukis Kartun Bersama Kartunis Abe” mendapat sambutan hangat di mana 27 peserta telah menghadiri program ini melebihi sasaran penganjur iaitu 20 orang peserta. Peserta yang hadir terdiri daripada anak-anak berumur 7 hingga 15 tahun.

Program yang berbentuk bengkel ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh kartunis terkenal Abe atau nama sebenarnya Tuan Mohd Azhar. Abe adalah pelukis asal siri “Syaitan Kurus dan Syaitan Gemuk” dalam majalah ASUH yang menjadi kesukaan ramai kanak-kanak.

Program sehari ini dimulai dengan penerangan mengenai kartun, macamana untuk mendapat pahala melalui kartun dan adab-adab dalam menghasilkan kartun. Seterusnya peserta didedahkan teknik-teknik asas melukis kartun dimulai dengan melakar muka kawan di sebelah. Ada juga peserta yang tidak tahu langsung melukis. Abe mengatakan sesiapa saja yang boleh membuat 3 bentuk garisan iaitu; garisan lurus, garisan bengkok dan bulatan, mereka sebenarnya boleh melukis kartun. Tiga garisan tadilah yang digunakan untuk melukis kartun, tak ada garisan keempat.

Antara perkara yang dipelajari oleh peserta ialah:

  1. Melakar muka dan bentuk-bentuk muka
  2. Melukis mata dan bentuk-bentuk mata
  3. Melukis hidung dan bentuk-bentuk hidung
  4. Melukis mulut dan bentuk-bentuk mulut
  5. Formula kedudukan telinga, mata dan mulut
  6. Melakar orang lidi dan gerakan
  7. Melakar orang penuh
Peserta juga diminta membuat 3 tugasan iaitu pertama bertajuk “Alien Serang KL” dengan memasukkan imej kapal angkasa Alien, bangunan, orang, kenderaan, haiwan dan pokok. Wah! Kreatif betul para peserta dengan berbagai bentuk kapal angkasa yang dilukis.

Tugasan kedua iaitu “Mencipta Seorang Hero/Heroin Islam” juga menarik minat peserta. Apabila Abe mengatakan hero/heroin yang dibuat akan dihantar ke Gaza untuk melawan rejim zionis Israel, maka timbullah berbagai senjata kreatif dengan teknologi canggih yang dilukis oleh peserta.

Tugasan terakhir ialah membuat lukisan keluarga sendiri yang terdiri daripada ayah, emak, adik, kakak, abang dan diri sendiri.

Keseluruhannya program ini berjaya mendedahkan peserta dengan teknik-teknik asas melukis kartun. Ada beberapa peserta berbakat besar melukis kartun. Peserta perlulah berlatih dan terus membiasakan diri dengan teknik-teknik yang diajar. Menarik juga bila kebanyakan kartun peserta terpengaruh dengan manga-jepun!
Apa pun kita mengharapkan bakat melukis anak-anak ini dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan dakwah melalui satu lagi media kesukaan ramai iaitu KARTUN! Terimakasih Abe!

Foto-foto lain boleh dilihat di sini.

lukis-kartun2lukis-kartun1

No comments:

Post a Comment