Wednesday, August 25, 2010

[MH] Kerajaan didesak kawal pornografi secara serius

bantah porno

KUALA LUMPUR - Gabungan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur mendesak agar kerajaan mengambil langkah-langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.

Desakan ini dinyatakan dalam satu sidang media oleh gabungan NGO ini di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Pusat Bandar Melawati dekat sini. Susulan kepada sidang media ini juga, satu memorandum akan dihantar kepada kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

Jurucakap gabungan, Dr Hjh Niekmah Adam yang juga merupakan Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur menegaskan bahawa perkembangan teknologi maklumat dan akses yang begitu mudah kepada internet telah mengakibatkan pelbagai masalah termasuk pendedahan bahan-bahan terlarang seperti pornografi.
bantah porno 
“Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan yang tidak sihat seperti menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan, dan juga penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks” tegas beliau dalam sidang media tersebut

“Kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah atau di kafe siber,” tambahnya lagi.

Memorandum ini antaranya mendesak pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat kepada pihak yang menjual dan mengedar bahan porno di pasaran.

Gabungan ini juga mendesak agar Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan bahan cetak yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur lucah.

Selain itu, desakan turut dibuat kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan agar serius dan konsisten dalam usaha mengawal bahan-bahan siaran sama ada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta.

“Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik dan fungsi Lembaga Penapisan FIlem yang dilihat gagal memainkan peranannya perlu dinilai semula,” katanya lagi. 

Memorandum ini juga menuntut agar peningkatan penguatkuasaan hukuman dilakukan dan mempertimbangkan agar hukuman yang lebih keras dikenakan kepada pengedar VCD lucah. Hal ini kerana hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada mereka.
bantah porno 
Sementara itu, Pengurus Pusat Sokongan Keluarga dan Wanita (PAKSI) JIM, Faridah Maludin menyatakan bahawa ibu bapa perlu sedar tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka agar mempunyai benteng kawalan diri terhadap perkara-perkara negatif.

“Dalam kajian terhadap remaja dalam program-program yang kami adakan, didapati 10-15% remaja sekolah terlibat dengan gejala seksual,” tambah beliau lagi. 

Pengarah Nisa’ Wilayah Persekutuan, Nor Hafiza Fadzil pula berkata bahawa statistik pendaftaran anak luar nikah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2000 hingga 2008 adalah amat membimbangkan.

“Statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2000 hingga 2008 menunjukkan sebanyak 257,000 anak luar nikah didaftarkan,” katanya.

Selain Wanita JIM Kuala Lumpur dan Nisa’ Wilayah Persekutuan, gabungan ini turut dianggotai Pertubuhan An-Nidaa’, Women Institute For Research, Development and Advancement (WIRDA),Persatuan Kebajikan Darul Najah, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan, Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Kelang, dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Wilayah.

No comments:

Post a Comment